
Hakim Mahkamah Tinggi Muar Meor Hashimi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas mengetepikan hukuman denda itu yang dibuat Mahkamah Sesyen Muar, pada 19 Mac.
Dalam penghakimannya, beliau berkata hukuman denda dikenakan tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan tertuduh.
“Kesalahan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, adalah serius. Sebagai bapa tiri, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa daripada perbuatan tidak bertanggungjawab.
“Perbuatan tertuduh meninggalkan kesan dan trauma berpanjangan kepada mangsa, mahkamah menganggap tertuduh perlu dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya menurut Harian Metro.
Katanya, mengguna pakai Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah yang dibaca bersama Seksyen 325 kanun sama serta atas pertimbangan dan mitigasi kedua-dua pihak, hukuman denda dikenakan Mahkamah Sesyen diketepikan, diganti dengan penjara enam bulan bermula hari ini.
“Hukuman ini diputuskan selepas mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada masyarakat. Selain itu, mahkamah memerintahkan denda RM6,000 yang dibayar tertuduh dipulangkan semula,” katanya.
Pada 19 Mac, tertuduh berusia 56 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan mengaku bersalah sebelum Hakim Nariman Badruddin menjatuhi hukuman denda.
Namun, seminggu kemudian, Jabatan Peguam Negara memfailkan notis rayuan berhubung keputusan itu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak iaitu 18 rakaman video dan beberapa keping gambar bogel anak tiri berusia 15 tahun yang sedang mandi.
Perbuatan itu berlaku antara 17 Sept hingga 21 Dis tahun lalu dengan seksyen itu memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.