
Khaled menasihatkan orang ramai memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan mereka secara menyeluruh.
“Perkara yang munasabah untuk dilakukan pada ketika ini adalah membiarkan polis menyiasat dahulu jika tidak akan berlaku salah faham atau kekeliruan dari segi maklumat yang diberikan kepada orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis hari ini.
Laporan awal diterima hasil bedah siasat dilaksanakan, mendapati punca kematian disahkan kerana trauma akibat benda tumpul pada dada, yang merujuk hentakan kuat pada bahagian dada yang menyebabkan kerosakan pada jantung.
Khaled memberi amaran bahawa sebarang bentuk buli dalam angkatan tentera adalah tidak boleh diterima.
Beliau juga berkata kementeriannya akan memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan dan kekal telus dalam perkara ini bagi memastikan ia tidak berulang.
Media semalam melaporkan dua anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) ditahan bagi membantu siasatan kes kematian Prebet Muhammad Muqriz Aseri, pada Isnin lalu.
Ketua Polis Miri Alexson Naga Chabu dipetik sebagai berkata kedua-dua prebet berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan pada 4.30 petang.
Sebelum kejadian, mangsa yang sedang tidur di berek bujang kem dikejutkan dua anggota senior untuk bersahur, pada 2.15 pagi.
Dua senior terbabit bagaimanapun mengarahkan mangsa melakukan ‘commando rest’ selama dua minit dan tekan tubi sebanyak 20 kali sebelum bersahur.
Mangsa selepas itu dikatakan pitam sebelum kejadian dimaklumkan kepada seorang anggota berpangkat koperal yang juga ketua bilik bujang di berek berkenaan.
Dia dihantar ke hospital namun disahkan meninggal dunia pada 3.05 pagi.