
Syarikat penerbangan itu berkata, pesawat tersebut berpatah balik dan mendarat cemas di KLIA 2 akibat masalah kerosakan saluran udara atau ‘duct’ di salah satu enjinnya menyebabkan pelepasan udara panas.
“AirAsia mengesahkan tidak berlaku kebakaran enjin. Pesawat itu dijangka beroperasi semula Isnin ini,” kata dalam kenyataan.
Timbalan CEO Kumpulan AirAsia (Operasi Penerbangan), Chester Voo, yang dipetik sebagai berkata, kru penerbangan bertindak pantas dan mematuhi protokol keselamatan serta operasi ditetapkan.
“Juruterbang dan kru kabin kami terlatih untuk menangani situasi sebegini, dan pesawat berjaya mendarat dengan selamat tanpa sebarang insiden lanjut selepas prosedur yang sewajarnya dilaksanakan,” katanya.
AirAsia turut mengesahkan semua 171 penumpang selamat keluar dari pesawat dan dipindahkan ke penerbangan lain yang berlepas pada 3.46 pagi. Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bao’an, Shenzhen, pada 7.51 pagi.
Terdahulu, FMT melaporkan pesawat Air Asia yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Shenzhen, China, berpatah balik sebelum membuat pendaratan cemas di KLIA 2 selepas mengalami masalah kebakaran enjin.
Bomba Selangor dalam kenyataan berkata, pesawat Airbus A320 itu berlepas dari KLIA pada 9.59 malam tadi sebelum berpatah balik kerana berlaku kebakaran di enjin sebelah kanan.
Katanya, pesawat itu berlegar di ruang udara sementara menunggu arahan untuk mendarat sebelum berjaya mendarat dengan selamat di Runway 3 KLIA 2 pada 12.08 tengah malam tadi.
Pegawai operasi melaporkan kebakaran dipadam sepenuhnya oleh sistem Halon pesawat dan punca kebakaran adalah disebabkan kerosakan ‘Pneumatic Ducting Burst’.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan menjalankan siasatan ke atas insiden mengikut prosedur biasa.