Tak wajar pengundi tinggal di luar tentukan wakil rakyat kawasan asal, kata pemimpin Bersatu

Tak wajar pengundi tinggal di luar tentukan wakil rakyat kawasan asal, kata pemimpin Bersatu

Wan Saiful Wan Jan berkata pengundi sepatutnya mengundi di kawasan mereka bermastautin bukan di kampung halaman.

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan menyifatkan tindakan mengundi di luar kawasan tempat tinggal sebagai tidak bertanggungjawab.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu membidas pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dilihat takut kalah pada pilihan raya dengan menolak cadangan PAS Selangor supaya pengundi luar menetap di negeri itu menukar alamat mengundi di tempat mereka bermastautin.

Menyokong kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Ab Halim Tamuri itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata pengundi sepatutnya memilih wakil rakyat di tempat mereka bermastautin kerana memberi kesan langsung kepada kehidupan mereka.

“Adalah tidak wajar seseorang yang hanya pulang seminggu dua dalam setahun menentukan wakil rakyat di kawasan itu untuk tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful juga menyifatkan tindakan mengundi di luar kawasan tempat tinggal sebagai tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip demokrasi yang menekankan ‘local representation’.

Beliau menegaskan PH tidak sepatutnya menolak cadangan itu hanya kerana bimbang kehilangan sokongan dalam pilihan raya.

“Ada yang mengatakan PH memang mahu pengundi Melayu keluar dari kawasan tertentu dan mengundi di tempat lain kerana PH ada kelebihan jika perkara itu berterusan.

“Tetapi bagi saya perkara ini tidak ada kena mengena dengan bangsa atau agama. Kalau orang Cina atau India menetap di sesuatu lokaliti, mereka juga wajar mengundi di lokaliti itu secara inklusif,” katanya.

“Penolakan buta tuli adalah tanda mereka tidak faham mengenai nilai sebenar ‘local representation’.”

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Amanah Selangor Azli Yusof dan Majlis Pimpinan Pusat PKR Rodziah Ismail mengkritik cadangan PAS Selangor itu dengan menyifatkannya sebagai langkah terdesak dan tidak beretika.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap undi mencerminkan realiti sebenar rakyat bermastautin di Selangor, selaras hak dibenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebelum itu, Ab Halim juga menyatakan harapan penyokong PAS bermastautin di Selangor mendaftar sebagai pengundi di negeri itu menjelang PRU.

Menurutnya, beliau yakin jika lebih ramai penyokong PAS mendaftar sebagai pengundi di Selangor, tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) mampu menawan negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.