
Ketua Polis Shah Alam Iqbal Ibrahim berkata, mangsa membuat laporan berhubung perkara itu pada 8.42 malam semalam, mendakwa kejadian berlaku ketika urusan transaksi pembayaran sedang dibuat.
“Suspek seorang lelaki Melayu datang ke kedai tersebut bersama keluarganya untuk membeli (makanan dan minuman) yang berharga RM6.50. Suspek memberikan wang tunai RM10 sewaktu membuat pembayaran.
“Berlaku perselisihan faham ketika mangsa meminta wang syiling 50 sen daripada suspek kerana tidak mempunyai baki wang syiling mencukupi di dalam ‘cash box’. Suspek menyindir mangsa kerana meminta wang syiling tersebut.
“Mangsa menutup ‘cash box’ dengan kuat menyebabkan suspek rasa tidak puas hati lalu memarahi mangsa dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan menghina mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perselisihan faham itu kemudian dileraikan oleh rakan sekerja mangsa, dan suspek beredar setelah urusan pembayaran selesai.
Iqbal berkata, siasatan lanjut mendapati mangsa menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu kepada ahli keluarganya, sebelum rakaman itu dikongsi di TikTok oleh ‘individu tidak bertanggungjawab’.
Kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan 509 Kanun Keseksaan, yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara dua tahun dan lima tahun atau denda, jika sabit kesalahan.
Iqbal berkata, kes turut disiasat bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, yang memperuntukkan denda maksimum RM100, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan penjara setahun atau denda hingga RM50,000, jika didapati bersalah.
Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang yang dilaporkan menggesa siasatan polis semalam.
Beliau mahu tindakan sewajarnya diambil kerana kejadian tersebut dikatakan turut melibatkan perkataan berbaur perkauman ‘yang tidak sepatutnya wujud dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama ini’.