
Hakim Abang Iskandar Abang Hashim, yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, lima persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh G Suppiah, M Supramaniam, A Narayanan, dan T Kalimuthu melepasi ambang yang ditetapkan oleh Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman, membolehkan merit rayuan mereka didengar.
Ini bermakna pemohon telah menunjukkan bahawa rayuan yang dicadangkan mengandungi persoalan undang-undang baharu berkait kepentingan awam yang dibangkitkan buat kali pertama.
Anggota lain dalam panel yang mendengar permohonan itu semalam terdiri daripada Hakim Nallini Pathmanathan dan Rhodzariah Bujang.
Kuil Sri Veeramakaliamman di Jelutong, Pulau Pinang, diiktiraf sebagai amanah khairat bawah instrumen bertarikh 12 Mac 1896.
Pemegang amanah pengasas mewariskan tiga lot tanah kepada kuil itu. Dua lot, iaitu Lot 83 dan 84, telah diperuntukkan dalam inden amanah untuk dijadikan plot perkuburan.
Subramaniam Muthusamy dan isterinya, Lalidah Sinnasamy, adalah bekas pemegang amanah kuil itu sejak 1995.
Setelah menubuhkan sebuah syarikat pembangunan, mereka cuba membangunkan pangsapuri di plot-plot perkuburan itu.
Pada Mac 2014, pemegang amanah semasa menyaman pasangan itu, mendakwa berlakunya pecah amanah.
Pada 17 Okt 2016, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melantik pemegang amanah baharu untuk menerajui amanah itu, menggantikan yang lama.
Sementara itu, untuk membangunkan dua lot itu, Subramaniam dan Lalidah memohon pinjaman daripada CIMB Bank Bhd sebanyak kira-kira RM800,000, kemudian RM3.5 juta lagi.
Sebagai cagaran, bank mengemukakan pajakan ke atas dua plot itu.
Apabila bekas pemegang amanah itu gagal membayar pinjaman, CIMB memohon kebenaran menjual tanah tersebut, namun dicabar empat pemegang amanah semasa.
Pada 23 Jun 2020, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang enggan membenarkan penjualan tanah itu.
Bank itu merayu kepada Mahkamah Rayuan, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan membenarkan penjualan tanah, mencetuskan permohonan kebenaran merayu semasa.
GK Ganesan selaku peguam mewakili pemohon berhujah, kedua-dua bekas pemegang amanah mahupun bank tidak mendapat kebenaran peguam negara untuk mengemukakan pajakan itu, yang merupakan syarat mandatori bawah Seksyen 9 Akta Prosiding Kerajaan 1956.
Beliau berkata, tiada pihak memohon kebenaran peguam negara untuk menjual tanah itu.
“Menurut Seksyen 21(2) Akta Pemegang Amanah 1948, harta amanah khairat tidak boleh digunakan sebagai cagaran untuk pinjaman bank,” kata Ganesan.
Peguam B Jeyasingham, yang mewakili CIMB berkata, bank itu secara tidak sengaja terlibat dalam tuntutan itu kerana telah meminjamkan wang tanpa tahu tentang litigasi sebelum itu.
Peguam Kanan Persekutuan Al Saifi Hashim, yang tampil sebagai amicus curiae berkata, peguam negara ialah penjaga semua harta kebajikan.