GRS perlu tanding 50 DUN jika wujud kerjasama parti lain, kata pemimpin Gagasan Rakyat

GRS perlu tanding 50 DUN jika wujud kerjasama parti lain, kata pemimpin Gagasan Rakyat

Mazlan Joehari Manan berkata GRS yang dianggotai parti tempatan perlu kekal dominan untuk memperjuangkan hak Sabah.

GRS Sabah
Sebelum ini, Jeffrey Kitingan berkata GRS akan mengadakan mesyuarat selepas Aidilfitri bagi menentukan kerjasama pada PRN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mencadangkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding sekurang-kurangnya 50 daripada 73 DUN jika berlaku kerjasama dengan pihak lain pada PRN.

Ketua Gagasan Rakyat Lumadan Mazlan Joehari Manan berkata cadangan itu supaya GRS yang dianggotai parti tempatan kekal dominan memperjuangkan hak negeri yang akhirnya menyumbang kestabilan politik.

Mazlan Joehari Manan.

“Apa sekalipun bentuk kerjasama politik pada masa akan datang (PRN17), GRS harus dominan dalam agihan kerusi seterusnya menerajui dalam memperjuangkan hak rakyat melalui kerajaan negeri Sabah.

“Saya secara peribadi berpendapat GRS kena bertanding sekurang-kurangnya separuh atau 50 kerusi daripada 73 DUN pada pilihan raya ini,” katanya menurut Daily Express.

Sebelum ini beberapa pemimpin GRS antaranya Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Jeffrey Kitingan dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Pandikar Amin Mulia mengesyorkan komponen itu bertanding di semua 73 DUN.

Jeffrey yang juga timbalan pengerusi GRS berkata sebarang bentuk kerjasama GRS dengan parti lain akan diputuskan dalam mesyuarat selepas Aidilfitri.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga pegawai khas kepada Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor tidak menolak kemungkinan bakal berlaku pertembungan GRS dengan rakan politiknya di beberapa kerusi jika tiada persefahaman muktamad.

“Pendapat saya, jalan penyelesaiannya hanya ‘free fight’ jika tiada keputusan dicapai bagi mana-mana kerusi.

“Kita perlu bertegas khususnya dalam memastikan kerusi-kerusi pilihan raya kita kekal ditandingi GRS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.