2 ditahan cuba seludup 1.3 tan beras

2 ditahan cuba seludup 1.3 tan beras

Suspek yang memandu sebuah MPV cuba melarikan diri tetapi berjaya ditahan pasukan PGA di Rantau Panjang.

smuggle rice
Kenderaan yang digunakan suspek untuk menyeludup beras dari negara jiran. (Gambar PGA)
PETALING JAYA:
Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua lelaki dan merampas hampir 1.3 tan beras yang dipercayai diseludup masuk dari negara jiran menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Rantau Panjang, Kelantan semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata dua lelaki itu yang menaiki sebuah kenderaan jenis Naza Citra ditahan di Kampung Baroh Pial kira-kira jam 5.15 petang.

Katanya, suspek pada mulanya cuba melarikan diri dengan dengan memecut laju namun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat anggaran 950kg beras pulut cap Angsa Emas dan 323kg beras cap Mango serta Serindit ditemui dalam kenderaan itu.

“Bekalan terbabit dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui pangkalan haram. Pemandu dan penumpang dua lelaki tempatan berusia 34 dan 35 tahun ditahan,”katanya dalam satu kenyataan.

Nik Ros berkata anggaran nilai rampasan keseluruhan hampir RM38,000 termasuk kenderaan.

Katanya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994.

“PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.