
Kerjasama itu dimeterai pada Kongres Mudah Alih Sedunia 2025 di Barcelona, baru-baru ini dengan kehadiran Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee, dalam kenyataan berkata gabungan AI dan teknologi rangkaian canggih itu akan mempercepat transformasi digital Malaysia dengan infrastruktur lestari.
“MoU bersama Equinix akan membolehkan perniagaan di Malaysia mengakses YTL AI Cloud melalui rangkaian global Equinix.
“Ia menyediakan GPU sebagai perkhidmatan bagi menyokong keperluan pengkomputeran AI yang semakin meningkat, YTL AI Cloud beroperasi menggunakan 100% tenaga boleh diperbaharui di Taman Pusat Data Hijau YTL 500MW, memastikan pembangunan AI yang mampan,” katanya.
Naib Presiden Kanan Jualan Equinix Asia-Pasifik, David Bate, pula menyifatkan kerjasama itu akan memberikan akses lebih luas kepada ekosistem AI dan rangkaian global mereka.
Kerjasama itu juga akan menyaksikan YTL Communications menjadi syarikat telekomunikasi pertama di Malaysia menggunakan teknologi komunikasi laser tanpa wayar Transcelestial.
Penyelesaian itu membolehkan ketersambungan setanding rangkaian fiber tanpa memerlukan kabel fizikal, sesuai untuk kawasan sukar dicapai.
Ketua Pegawai Eksekutif Transcelestial, Rohit Jha, berkata teknologi itu akan menghapuskan halangan fizikal bagi akses internet berkelajuan tinggi, mempercepat aspirasi digital Malaysia.