
Romzi Ationg dan Awang Azman Pawi menjangkakan peluang Shahelmey yang digantung Umno mungkin sukar namun seorang lagi penganalisis Bilcher Bala berpendapat Ahli Parlimen Putatan terbabit ada keyakinan untuk menang.
Bilcher dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata Shahelmey boleh mempertaruhkan prestasi sebagai timbalan ketua menteri sepanjang dua tahun lalu untuk mengimbangi sokongan rakyat yang mungkin kurang berpuas hati kerana tindakannya tidak ‘senada’ dengan Umno.

“Prestasinya sebagai timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya mungkin beri kelebihan dalam menarik sokongan pengundi menghargai sumbangannya dalam kerajaan,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Shahelmey menyuarakan hasrat ingin mempertahankan kerusi Tanjung Keramat yang dimenanginya atas tiket BN pada PRN Sabah 2020 namun enggan mendedahkan di bawah parti mana.
Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed telah diumumkan sebagai calon BN bagi Tanjung Keramat.
Shahelmey yang juga menang Parlimen Putatan di bawah tiket BN pada PRU15 digantung selepas tidak bersetuju dengan keputusan Umno Sabah menarik diri daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, pada Januari 2023.

Romzi yang juga dari UMS pula berpendapat Shahelmey berdepan cabaran besar memandangkan kemenangannya lima tahun lalu bukan kerana ketokohannya tetapi kekuatan akar umbi Umno di Tanjung Keramat, terletak bawah Parlimen Putatan.
“Secara peribadi dia bukan tokoh popular di kawasan itu sebelum ini. Dia popular sebab Umno, jadi kalau dia berpindah parti, dia akan bermasalah,” katanya.
“Pengundi ketika itu menyokongnya kerana beliau calon Umno. Apabila berpaling tadah, sudah pasti penyokong yang dahulunya mengundi beliau akan kecewa dan marah,” tambah Awang Azman dari Universiti Malaya.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata Shahelmey kemungkinan bertanding atas tiket GRS memandangkan peluang untuk menang amat tipis jika sebagai calon bebas.
Namun, jika GRS menerima Shahelmey, beliau tidak menolak pemimpin itu turut berdepan penolakan oleh penyokong GRS, selain mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pemimpin parti gabungan lain.
“Sekiranya beliau memilih GRS, situasi ini boleh menimbulkan ketegangan dalam gabungan tersebut, terutama dengan parti lain yang mungkin berminat merebut kerusi Tanjung Keramat,” katanya.
“Meskipun dilantik sebagai timbalan ketua menteri dan menjadi orang kanan Hajiji (Noor), belum tentu penyokong GRS menerima beliau sepenuhnya.”
Romzi pula berkata pengundi Sabah kini tidak lagi hanya melihat kepada parti semata-mata, tetapi lebih menilai kredibiliti calon serta keupayaan membawa perubahan dan pembangunan untuk masyarakat setempat.
“Faktor parti mungkin hanya 10%, sentimen politik sekitar 10%, tapi selebihnya bergantung kepada pemimpin itu sendiri,” katanya.
Bilcher juga berpandangan sama bahawa pengundi kini sudah mulai sedar mengenai pentingnya prestasi dan integriti calon, selepas faktor pengaruh parti politik yang sebelum ini menjadi penentu undi.
“Oleh itu, Shahelmey perlu menonjolkan prestasi dan sumbangannya untuk menarik sokongan pengundi, selain bergantung kepada ‘payung politik’ yang dipilihnya,” katanya.