Mangsa banjir Johor meningkat sedikit

Mangsa banjir Johor meningkat sedikit

Ia meningkat kepada 1,853 orang berbanding 1,806 orang, membabitkan lima daerah setakat pagi tadi.

Pusat Penempatan Sementara
Jumlah pusat pemindahan sementara yang masih aktif menempatkan mangsa banjir di Johor kini sebanyak 20 buah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Azmi Rohani. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa di lima daerah di Johor merekodkan sedikit peningkatan kepada 1,853 orang berbanding 1,806 orang, setakat pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Azmi Rohani, berkata jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif menempatkan mangsa banjir kini adalah 20.

“Jumlah mangsa banjir di Johor Bahru meningkat sedikit kepada 680 orang (152 keluarga) pada pagi ini. Mereka ditempatkan di lima PPS.

“Batu Pahat menunjukkan peningkatan apabila kepada 621 orang (193 keluarga) di lima PPS, berbanding 368 orang (113 keluarga) di Batu Pahat, malam tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Harian Metro.

Beliau berkata jumlah mangsa banjir di Kluang, Kota Tinggi dan Pontian bagaimanapun kekal.

“Terdapat 74 orang (27 keluarga) di dua PPS bagi Kluang, manakala 68 orang (21 keluarga) masih berada di dua PPS di Kota Tinggi.

“Di Pontian, 414 orang (112 keluarga) di enam PPS,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) setakat ini tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir mahu pun amaran hujan di mana-mana daerah di negeri itu.

Hanya Batu Pahat sahaja yang dilaporkan mengalami cuaca mendung, manakala daerah lain dilaporkan cerah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.