Kuil Hindu akan dipindah 50m dari lokasi semasa, kata Zaliha

Kuil Hindu akan dipindah 50m dari lokasi semasa, kata Zaliha

Pembangunan di tapak baharu itu akan tertakluk pada syarat-syarat terpakai, kata menteri wilayah persekutuan.

Zaliha Mustafa
Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa memberikan surat akujanji kepada Pengerusi Jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman K Barthiban pada sidang media di DBKL hari ini.
KUALA LUMPUR:
Sebuah kuil Hindu di Jalan Masjid India, yang dirancang ditempatkan semula untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid, akan dipindahkan 50m dari lokasi semasanya, kata Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha berkata, jawatankuasa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah bersetuju kuil itu dipindahkan ke lokasi baharu berkeluasan 4,000 kaki persegi, sepadan dengan saiz kuil.

“Tapak ini sebahagian Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur, dan pembangunan di tapak baharu itu akan tertakluk pada syarat-syarat terpakai,” katanya pada sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Zaliha berkata, kuil itu akan terus beroperasi sehingga proses pemindahan bermula secara rasmi.

Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, pada Khamis, beliau akan menghadiri majlis pecah tanah Masjid Madani, yang akan dibina di tapak tempat kuil itu kini terletak.

Pelan memindahkan kuil untuk memberi laluan kepada pembinaan masjid mencetuskan pelbagai reaksi daripada orang ramai, termasuk peguam.

Terdahulu, Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd Aiman Dazuki berkata, pihak syarikat memperoleh tanah itu pada 2012.

Pada 2021, syarikat mendapat kebenaran untuk mula membina sebuah masjid, namun menangguhkan proses itu bagi ‘menghormati’ proses pemindahan kuil.

Aiman berkata, mustahil untuk masjid itu dibina tanpa memindahkan kuil kerana tanahnya tidak cukup luas.

Syarikat itu juga bersetuju menanggung kos pemindahan kuil itu, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.