Kenaikan premium insurans sejajar langkah interim BNM, kata Prudential

Kenaikan premium insurans sejajar langkah interim BNM, kata Prudential

Menurut Prudential, kadar inflasi bagi pelan perubatan PRUHealth didorong peningkatan tuntutan pelanggan dan purata jumlah tuntutan.

bank negara
Prudential Malaysia berkata, langkah interim BNM memastikan industri insurans dan takaful akan selaraskan premium insurans perubatan secara bertanggungjawab dan telus.
PETALING JAYA:
Prudential Malaysia berkata, pelarasan premium insurans perubatannya mematuhi langkah interim Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, langkah interim BNM itu memastikan industri insurans dan takaful akan melaksanakan pelarasan premium insurans perubatan secara bertanggungjawab dan telus.

“Kami telah menghubungi pemegang polisi secara berperingkat sejak 18 Mac, memaklumkan tentang langkah itu secara terperinci, dengan premium dan caj insurans yang dikemas kini,” katanya dalam kenyataan.

Syarikat insurans itu berkata, kadar inflasi bagi pelan perubatan PRUHealth-nya didorong terutamanya oleh peningkatan tuntutan pelanggan dan purata jumlah tuntutan.

Semalam, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin meminta syarikat insurans itu menjelaskan sebab kenaikan premium insurans perubatannya baru-baru ini.

Beliau hari ini menerima penjelasan syarikat insurans itu.

“Setiap penanggung insurans dan pengendali takaful juga mesti patuhi langkah interim sama yang ditetapkan BNM,” katanya kepada FMT.

“PKR akan terus memantau syarikat insurans dan tidak akan teragak-agak bersuara bagi pihak rakyat jika kami terima aduan lagi.”

Langkah interim yang diumumkan pada Disember lepas mengkehendaki penanggung insurans dan pengendali takaful menyediakan produk alternatif pada harga yang sama atau lebih rendah kepada pelanggan yang ingin menamatkan langganan produk yang telah ditetapkan kadar baharu.

Penanggung insurans dan pengendali takaful turut dikehendaki mengagihkan perubahan kadar premium dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun bagi semua pemegang polisi yang terjejas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.