Kastam rampas mercun, bunga api hampir RM1 juta

Kastam rampas mercun, bunga api hampir RM1 juta

Rampasan itu dilakukan dalam serbuan terhadap sebuah gudang di kawasan perindustrian Nagasari, Perai pada 11 dan 12 Mac lepas.

Pengarah Kastam
Pengarah Kastam Negeri Rohaizad Ali menunjukkan mercun dan bunga api tanpa permit bernilai hampir RM1 juta yang berjaya dirampas, pada sidang akhbar hari ini. (Gambar Bernama)
BUTTERWORTH:
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan mercun dan bunga api tanpa permit bernilai hampir RM1 juta dalam serbuan terhadap sebuah gudang di kawasan perindustrian Nagasari, Perai, di sini pada 11 dan 12 Mac lepas.

Pengarah JKDM Negeri, Rohaizad Ali, berkata serbuan yang dilakukan sepasukan anggota dari Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan itu menemukan tujuh kontena mengandungi 1,332 karton atau 28,780kg mercun dan bunga api pelbagai jenama tanpa permit.

Beliau berkata mercun dan bunga api itu dipercayai stok bekalan sempena Aidilfitri dengan menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi penyimpanan.

“Mercun dan bunga api tersebut didapati tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan dalam permit import (AP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis.

“Kesemua bunga api dan mercun ini bernilai RM360,767.50 melibatkan duti RM599,189.63 dan tindakan telah diambil dengan menyita barang kes itu untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.

Rohaizad berkata seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 60-an yang berada di lokasi ketika serbuan turut ditahan namun siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan serta kaitannya dengan sindiket itu.

Beliau memaklumkan mercun dan bunga api merupakan barang larangan yang mana pengimportannya dibenarkan dengan syarat mempunyai lesen import di bawah Butiran 46, Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Larangan (Larangan Mengenai Import) 2023.

Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Akta Kastam 1967, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.