Gubal peraturan untuk kandungan AI, tetapi jangan terlalu ketat, saran pakar

Gubal peraturan untuk kandungan AI, tetapi jangan terlalu ketat, saran pakar

Pakar keselamatan siber berkata, peraturan harus dilaksana secara berperingkat agar pemain industri cukup masa sesuai diri.

social media
Baru-baru ini, China dilapor mengeluarkan garis panduan yang menghendaki kandungan janaan AI yang diedarkan dalam talian dilabel mulai 1 Sept.
PETALING JAYA:
Malaysia patut mengikut jejak langkah China yang baru-baru ini menggubal peraturan pelabelan kandungan kecerdasan buatan (AI) baharu untuk membanteras maklumat salah dalam talian, kata pakar keselamatan siber.

Pelabelan kandungan sedemikian boleh membantu rakyat Malaysia membezakan antara maklumat benar dan palsu dalam talian, kata SL Rajesh, ketua jabatan forensik komputer di International Association for Counterterrorism and Security Professionals Centre.

“AI boleh mencipta kandungan palsu yang sangat meyakinkan, seperti berita palsu atau ‘deepfake’. Dengan melabel kandungan yang dijana AI, orang ramai akan lebih berhati-hati,” katanya kepada FMT.

‘Deepfake’ ialah imej, video dan audio yang dijana AI menunjukkan perkara atau peristiwa yang tidak benar, sering digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu.

Baru-baru ini, pihak berkuasa China dilapor mengeluarkan garis panduan yang menghendaki kandungan janaan AI yang diedarkan dalam talian dilabel mulai 1 Sept.

Rajesh juga berkata, label AI membantu membina kepercayaan awam dengan memastikan orang ramai tahu sumber kandungan yang dibaca atau ditonton.

Beliau menggesa Ahli Parlimen dan penggubal undang-undang negeri agar bekerjasama dengan syarikat dan pakar tempatan untuk menggubal peraturan AI baharu yang adil, agar inovasi dapat terus dipertingkat tanpa merisikokan masyarakat umum.

Peraturan-peraturan ini harus dilaksanakan secara berperingkat agar pemain industri mempunyai masa yang mencukupi untuk menyesuaikan diri, tambahnya.

Pengarah pusat penyelidikan keselamatan siber Universiti Sains Malaysia M Selvakumar berkata, peraturan label AI yang dicadangkan boleh menjadi alat yang berkesan untuk mewujudkan ketelusan, kebolehkesanan dan akauntabiliti bagi penggunaan teknologi yang tidak wajar.

Putrajaya juga harus mengkaji syarat ketelusan mengenai sumber kandungan dalam talian, terutamanya yang mudah menyebarkan maklumat salah, seperti berita sensasi dan imej grafik, katanya.

Penerbit kandungan dalam talian boleh menyatakan dengan jelas asal-usul kandungan dan menyediakan pautan ke sumber yang boleh dipercayai, seperti organisasi berita atau laman web rasmi kerajaan.

Selvakumar berkata, langkah ini akan melengkapi pengguna dengan alat bagi menilai kebolehpercayaan maklumat, tidak kira sumbernya.

Imbang keselamatan dengan kemudahan pematuhan

Selvakumar berkata, pelabelan seperti yang diwajibkan oleh China pada mulanya mungkin membebankan pembangun AI di Malaysia, dengan syarikat atau syarikat pemula yang lebih kecil mungkin sukar memperuntukkan sumber untuk pelaksanaannya.

Peraturan yang terlalu ketat boleh menyukarkan pemain industri untuk terus berdaya saing.

“Jika peraturan terlalu ketat, syarikat-syarikat mungkin terdorong membangunkan AI di tempat lain, di mana peraturannya lebih mudah dipatuhi.

“Ini akan menjejaskan keupayaan Malaysia untuk bersaing dalam pasaran global,” katanya.

Rajesh berkata, kerajaan harus mempertimbang menyediakan insentif seperti sokongan kewangan, geran permulaan, pelepasan cukai, atau geran penyelidikan untuk membantu AI dibangunkan dengan cara yang memberikan manfaat kepada masyarakat.

“Satu lagi idea lain adalah memberikan pensijilan atau anugerah bagi membina reputasi yang baik untuk syarikat kerana melakukan perkara yang betul dengan AI,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.