Anwar sahkan hadir rasmi pecah tanah Masjid Madani

Anwar sahkan hadir rasmi pecah tanah Masjid Madani

Perdana menteri berkata beliau akan meletakkan batu asas pada 27 Mac.

Anwar Ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini berkata kerajaan tidak mempunyai peranan dalam keputusan membina masjid di sepanjang Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan hadir  merasmikan majlis pecah tanah Masjid Madani di Jalan Masjid India, tapak yang mencetuskan kontroversi susulan rancangan penempatan semula sebuah kuil Hindu.

“Saya akan meletakkan batu asas pada 27 Mac,” katanya pada sambutan Hari Polis di Kuala Lumpur.

Rancangan pemindahan kuil untuk memberi laluan kepada masjid itu mencetuskan reaksi orang ramai, termasuk daripada peguam.

Ketua Bahagian Undang-undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki, berkata syarikat itu membeli tanah berkenaan pada 2012 dan mendapat kebenaran pada 2021 untuk mula membina masjid di situ.

Beliau berkata, ia menangguhkan proses itu ‘untuk menghormati’ pemindahan kuil.

Katanya, mustahil untuk membina masjid tanpa menempatkan semula kuil itu kerana tanahnya tidak cukup luas untuk menempatkan kedua-duanya.

Menurutnya, syarikat terbabit telah bersetuju untuk membayar kos pemindahan kuil itu.

Semalam, peguam Ambiga Sreenevasan dan N Surendran menggesa kerajaan mendedahkan perjanjian jual beli bagi plot tanah itu.

Bercakap hari ini, Anwar berkata masjid baharu diperlukan berikutan dua lagi masjid di kawasan berhampiran sudah padat.

Beliau berkata, penempatan semula kuil itu membabitkan peraturan dan undang-undang, dengan merujuk kepada perobohan masjid dan surau masing-masing di Lahad Datu, Sabah dan Perak yang tidak mematuhi peraturan itu.

Dalam hal itu, Anwar berkata kuil terbabit tidak perlu dirobohkan.

“Ia hanya perlu dipindahkan,” katanya memaklumkan beliau mahu isu itu diselesaikan secara baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.