
Ketua Eksekutif Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata Nacsa mengikuti perkembangan itu sejak menerima laporan daripada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
“Kami faham bahawa operasi di KLIA tidak terjejas, dan akan terus memantau keadaan dan menyokong MAHB,” katanya.
Awal hari ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau menolak tuntutan USD10 juta daripada penggodam.
Kenyataan bersama MAHB dan Nacsa menyatakan siasatan menyeluruh segera dilancarkan bagi menilai sifat dan tahap kejadian.
Pihak berkuasa yang berkaitan juga dimaklumkan dengan pantas, termasuk Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Pengarah Urusan MAHB Izani Ghani beri jaminan kepada pihak berkepentingan MAHB bahawa ia fokus pada memelihara operasi lapangan terbang, dan bekerjasama dengan rakan-rakannya untuk memastikan operasi penerbangan dan pemprosesan penumpang beroperasi seperti biasa.
Izani menegaskan keutamaan MAHB adalah memastikan keselamatan dan integriti sistem-sistem lapangan terbang.
“Pasukan teknikal dan operasi sedang giat memantau keadaan dan melaksanakan langkah-langkah yang perlu untuk melindungi prasarana dan memastikan pengalaman penumpang tidak terganggu,” tambahnya.