Tarif AS ke atas Mexico, Kanada, China mampu tingkat eksport Malaysia

Tarif AS ke atas Mexico, Kanada, China mampu tingkat eksport Malaysia

Miti berkata kenaikan harga produk dari negara dikenakan tarif akan jadikan produk Malaysia alternatif pasaran lebih kompetitif.

miti
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) berkata terlalu awal menyimpulkan dasar perlindungan AS akan jejas ekonomi Malaysia.
KUALA LUMPUR:
Pengenalan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas Mexico, Kanada, dan China boleh membuka peluang kepada pengeksport Malaysia meningkatkan pengeluaran dan menggandakan eksport mereka ke AS.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), berkata meskipun tidak membawa impak langsung terhadap eksport Malaysia, tetapi kenaikan harga produk dari negara dikenakan tarif akan menjadikan produk Malaysia sebagai alternatif pasaran lebih kompetitif.

“Negara pelabur juga dijangka akan mencari sasaran destinasi pelaburan baharu serta sumber produk yang kompetitif untuk mengelakkan bayaran tarif tinggi,” kata Miti dalam jawapan lisan menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew.

Beliau meminta Miti menyatakan impak ke atas ekonomi Malaysia akibat polisi protektif AS terutamanya dalam bentuk peningkatan tarif dan langkah-langkah yang diambil untuk meminimumkan impak tersebut.

Kerajaan berpandangan adalah terlalu awal menyimpulkan dasar perlindungan perdagangan AS akan menjejaskan ekonomi Malaysia dari segi kesan ke atas prestasi eksport dan negara kehilangan pelaburan serta syarikat-syarikat multinasional akan berpindah keluar, kata Miti.

Menurutnya, pemindahan operasi sesebuah syarikat tidak dilaksanakan dalam satu jangka masa pendek tetapi perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk daya upaya syarikat untuk pelaburan baharu yang bersifat jangka panjang.

“Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri untuk menarik pelaburan asing ke negara ini serta menggalakkan projek baharu, pelbagaian, dan pembesaran.

“Kementerian melalui agensinya iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) mengamalkan strategi fokus negara dan mengenal pasti peluang-peluang pelaburan dengan mengambil kira persekitaran geopolitik semasa dan hala tuju negara-negara rakan kongsi termasuklah ketidaktentuan polisi AS.

“Strategi ini akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa mengikut situasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.