
Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, berkata pihaknya tetap akan turun ke jalan raya bagi membantah URA.
“Tidak sama sekali (gentar amaran Anwar). Kita tak buat apa-apa jenayah. Kita hanya nak bersuara,” katanya kepada FMT.
Afnan berkata, himpunan akan diadakan PAS masih dalam ruang demokrasi dan mematuhi undang-undang sedia ada.
“Kita tak akan hancurkan kereta polis seperti yang pernah dibuat dulu oleh orang yang tidak bertamadun,” katanya.
Beliau yang juga ketua Pemuda Perikatan Nasional berkata, belum ada tarikh khusus bila himpunan itu akan diadakan namun menjangkakan selepas Aidilfitri.
Pada 15 Mac lalu Anwar turut memberi amaran supaya pembangkang tidak terus mengganggu usaha pentadbirannya membangunkan masyarakat Melayu di bandar.
Katanya, kerajaan akan menggunakan peruntukan undang-undang membangunkan semula Kuala Lumpur supaya orang Melayu tidak hidup merempat, susulan itu satu himpunan akan diadakan bagi menyokong langkah tersebut.
Antara pihak yang keras menentang akta itu ialah Pemuda PAS yang menyuarakan hasrat berhimpun di jalanan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Hafez Sabri, menyifatkan cadangan undang-undang itu sebagai ‘penjajahan moden’, selain mendakwa ia akan menyebabkan golongan miskin diusir dari tanah mereka seperti rakyat Palestin.
Manakala, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pula berkata Ahli Parlimen PN akan menentang RUU akan dibentangkan Jun ini kerana boleh mengganggu keharmonian.
Bagaimanapun, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, menafikan RUU itu disasarkan kepada kaum tertentu.