Pelajar tak faham BM disuruh ‘balik China’, KPM siasat guru

Pelajar tak faham BM disuruh ‘balik China’, KPM siasat guru

Menteri Fadhlina Sidek berkata KPM sedang teliti mendalam dakwaan itu dan tegas tiada kompromi dalam soal perkauman.

Fadhlina Sidek berkata, siasatan ke atas guru itu sedang berlangsung, selain perkara itu turut disiasat polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Tindakan guru didakwa menyuruh pelajarnya ‘pulang ke China’ kerana kurang fasih berbahasa Melayu sedang disiasat Kementerian Pendidikan (KPM).

Menteri Fadhlina Sidek, berkata perkara berkenaan diteliti KPM secara mendalam, di samping siasatan dijalankan polis.

“Saya tegaskan bahawa KPM tidak kompromi dalam soal perkauman yang berlaku di sekolah, baik melibatkan guru mahupun pelajar atau mana-mana pegawai.

“Dalam kes ini, siasatan sudah pun berlangsung dan tindakan akan kita lakukan berdasarkan kepada (hasil) siasatan itu,” katanya menurut Bernama selepas menyampaikan bantuan kepada 320 murid sekolah rendah sekitar Putrajaya.

Terdahulu, tular klip audio seorang guru didakwa mengaku memberitahu seorang pelajar sekolah menengah pulang ke China kerana tidak memahami bahasa Melayu.

Dalam klip audio itu, seorang lelaki mendakwa saudara kepada pelajar terbabit meminta guru berkenaan mengesahkan jika perkara itu benar dan guru berkenaan mengakui berbuat demikian.

Pada perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM sedang mengumpulkan maklumat berkenaan sekolah yang kini terkesan akibat banjir bagi menyelaras usaha membaik pulih.

“Kita akan terus memastikan bahawa sekolah-sekolah kita ini mendapat bantuan penyelenggaraan dengan segera supaya suasana kondusif dapat kita laksanakan untuk pembelajaran anak-anak,” katanya.

Fadhlina turut berkata RM26.4 juta diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah di Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah, dan Sarawak yang rosak akibat banjir pada Disember hingga Januari lalu.

Pada majlis hari ini, Fadhlina menyampaikan bantuan Hari Raya kepada 320 murid sekolah bagi meringankan beban keluarga mereka menyambut Aidilfitri.

Setiap murid menerima kad hadiah atau baucar membeli-belah bernilai RM100 serta pek sagu hati sumbangan beberapa syarikat swasta yang diselaraskan Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.