Main mercun, budak sekolah agama hancur pergelangan tangan

Main mercun, budak sekolah agama hancur pergelangan tangan

Ibu mangsa berkata anaknya kehilangan pergelangan tangan kiri kesan letupan belerang daripada mercun bola diisi dalam botol.

Pelajar berusia 16 tahun kini sedang dirawat di Hospital Tanah Merah, Kelantan.
PETALING JAYA:
Pelajar berusia 16 tahun yang pergelangan tangan kiri hancur akibat letupan mercun buatan sendiri di sebuah sekolah agama di Jeli selamat menjalani pembedahan di Hospital Tanah Merah (HTM), Kelantan.

Dalam kejadian pada 4.40 petang semalam, dua rakannya yang berusia 15 tahun turut cedera terkena serpihan botol dan kini menerima rawatan di HTM. Semua mereka dilaporkan stabil selepas dimasukkan ke hospital itu.

Ibu mangsa, Rosidah Razali, 38, berkata anaknya telah menjalani pembedahan bagi membuang satu daripada jari yang didapati sudah mati selepas pergelangan tangan kirinya hancur akibat letupan mercun itu.

“Akibat kejadian itu, anak saya kehilangan pergelangan tangan kiri serta mengalami kecederaan di badan dan kedua-dua kaki akibat terkena letupan serta serpihan botol.

“Saya mengetahui kejadian ini apabila dihubungi oleh penyelia asrama lelaki pada petang semalam,” katanya menurut Bernama di Tanah Merah.

Rosidah berkata, ketika menerima panggilan itu, dia dan suami berada di Kota Bharu atas urusan tertentu sebelum bergegas pulang untuk mengetahui keadaan anak mereka.

“Anak saya serta dua rakannya dibawa ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Tanah Merah pada 10 malam.

“Apabila tiba di Hospital Jeli, saya terkejut melihat tangan anak saya berbalut dan berlumuran darah. Ketika itu, dia sedang menangis kesakitan serta menyedari kehilangan pergelangan tangannya,” katanya.

Rosidah berkata, dia difahamkan anaknya telah membeli mercun bola di sebuah kedai di Ayer Lanas dan mengubah suainya dengan mengambil belerang sebelum mengisi bahan itu ke dalam botol.

Sementara itu, bapa kepada seorang lagi mangsa, Ibrahim Che Soh, 52, berkata anaknya hanya cedera di tangan dan badan akibat terkena serpihan botol yang mengandungi belerang yang meletup.

“Anak saya memaklumkan dia terkena serpihan botol yang tiba-tiba meletup. Saya kemudian bergegas ke asrama untuk melihat keadaannya. Saya bersyukur kerana kecederaan anak saya tidak serius,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.