
Difahamkan, karya bertajuk ‘Kepulangan’ hasil cetusan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang yang sangat menjunjung tinggi perpaduan dan keharmonian dalam kepelbagaian dalam negara.
Filem pendek arahan Zaiham Zainal itu mengisahkan konflik anak tunggal lelaki, Ismail, berusia pertengahan 20-an yang masih tinggal bersama ibunya, Faridah.
Konflik tercetus apabila rakan sekerja Ismail kerap mengusiknya yang masih tinggal bersama ibunya. Egonya juga tercabar melihat rakan dari Borneo telah lama merantau dan hidup berdikari.
Izzul Faiq, pembawa watak Ismail berkata keadaan itu dekat dengan dirinya yang pernah melalui pengalaman sama, iaitu desakan orang sekeliling membuatkan ego diri tercabar.
“Filem pendek ini harus ditonton segenap lapisan masyarakat demi memastikan kita semua menerima mesej utama filem pendek ini iaitu faham, hormat dan terima.
“Ia bermaksud kita faham kepelbagaian agama di negara ini dan hormat setiap amalan masyarakat berbilang agama serta menerima setiap perbezaan dalam menghormati setiap agama di Malaysia,” katanya.
Kepulangan sudah mula ditayangkan melalui RTM, Bernama TV, TVS dan Astro serta platform media sosial Aaron dan Kementerian Perpaduan Negara.