Dakwa dikasari ‘bodyguard’ penganjur acara, Adam Adli mohon maaf

Dakwa dikasari ‘bodyguard’ penganjur acara, Adam Adli mohon maaf

Timbalan menteri Adam Adli menjelaskan beliau tidak diiringi pengiring rasmi sebaliknya kawalan keselamatan disediakan penganjur sebuah acara di TRX.

Adam Adli mengakui melihat tindakan kasar pengawal peribadi disediakan penganjur sebuah acara di TRX, semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli tampil memohon maaf berhubung insiden melibatkan seorang individu yang mendakwa dikasari pengawal peribadi di sebuah acara Riuh Raya di Tun Razak Exchange (TRX), semalam.

Individu berkenaan memuat naik insiden itu di platform X sambil mendakwa beliau hampir ditolak keluar dari lif oleh ‘pengawal’ ketua Pemuda PKR terbabit.

“Saya menegur anda dan pengawal peribadi anda kerana bersikap agresif dan biadab tanpa sebab munasabah. Anda seorang aktivis menjadi wakil rakyat, tetapi kini bergerak dengan pengawal peribadi dan menghalang orang daripada memasuki lif,” tulis individu itu.

Dalam penjelasannya, Adam menegaskan beliau tidak membawa pengiring rasmi bersama kerana hadir bersama isteri selepas waktu kerja dan kawalan keselamatan pada hari berkenaan disediakan penganjur.

Menurutnya, dia hanya mempunyai seorang pegawai pengiring rasmi (ADC) dan seorang pemandu dari kementerian ketika dalam waktu kerja yang ketika kejadian semalam dicutikan.

Adam berkata sebaik tiba di TRX selepas solat tarawih bersama isteri, beliau dimaklumkan penganjur telah menyediakan kawalan keselamatan untuk mengiringinya ke tapak acara walaupun telah ditolaknya.

“Saya akui bahawa beberapa kali juga saya terlihat tindakan mereka yang agak kasar seolah-olah ingin ‘membuka jalan’.

“Saya tegur beberapa kali supaya mereka tidak menghalang atau menolak pengunjung lain. Acara semalam walaupun ramai, tidak terlalu sesak dan sangat tidak memerlukan kawalan keselamatan sebegitu,” katanya.

Akibat tindakan agresif pihak pengiring, Adam mengakui telah meminta maaf kepada beberapa pengunjung ketika bertembung.

“Saya kira puan bukan satu-satunya yang berhadapan pengalaman di atas.

“Sekali lagi saya mohon maaf kepada yang terkesan, dan saya beri jaminan bahawa kejadian semalam sama sekali tidak mencerminkan sikap, etika dan kebiasaan saya, sama ada di waktu kerja, apa lagi ketika bersama keluarga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.