Curi kabel KTM di utara ancam keselamatan penumpang

Curi kabel KTM di utara ancam keselamatan penumpang

Loke Siew Fook berkata insiden gangguan KTM Komuter Utara akibat curi kabel meningkat daripada 85 kes pada Julai 2024 kepada 804 kes pada Disember 2024.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata kos pembaikan akibat kecurian kabel perkhidmatan KTM mencecah RM1.35 juta, dengan kerugian masa sebanyak 162 jam akibat gangguan operasi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jenayah curi kabel sistem semboyan yang berfungsi mengawal pergerakan tren dan komunikasi di sektor utara bukan sekadar ganggu perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM), malah mengancam keselamatan penumpang dan kargo.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata jumlah insiden gangguan perkhidmatan KTM Komuter Utara yang berpunca daripada kes kecurian kabel meningkat daripada 85 kes pada Julai 2024, kepada 804 kes pada Disember 2024.

“Sebanyak 20 lokasi hotspot telah dikenal pasti, dengan sektor Sungai Petani-Tasek Gelugor mencatatkan kes paling tinggi iaitu 35 kes dan sektor Gurun-Sungai Petani 21 kes pada 2024,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Alor Setar.

Beliau berkata kos pembaikan mencecah RM1.35 juta, dengan kerugian masa sebanyak 162 jam akibat gangguan operasi.

“Sistem semboyan berperanan mengawal pergerakan tren yang membawa ratusan penumpang dan kargo yang nilainya jutaan ringgit secara selamat. Sindiket mencuri kabel adalah sabotaj berunsur jahat yang menjejas ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

Justeru, beliau berkata tindakan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dan fokus perlu diberikan kepada peruntukan kuasa undang-undang berkenaan ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Kementerian Pengangkutan akan bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk polis untuk memburu anasir mensabotaj infrastruktur negara dan membahayakan orang awam agar mereka dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Di peringkat KTM, Loke berkata 132 operasi khas termasuk rondaan 24 jam di kawasan panas seperti Sungai Petani, Gurun, dan Tasek Gelugor di Pulau Pinang dilaksanakan oleh polis bantuan KTM.

Beliau berkata, KTM juga akan menambah baik rangkaian ‘axle counter’ atau sistem penghitung gandar dan peralatan ‘axle counter’ dengan anggaran kos RM12.8 juta setahun dalam tempoh tiga tahun, tertumpu di kawasan panas.

Selain itu, KTM juga akan menambah infrastruktur pemantauan dan pencegahan termasuk kamera litar tertutup, dron, pagar antipanjat serta memasang penutup manhole dengan mekanisme kunci baharu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.