
Bank pusat itu berkata, dalam Laporan Tahunan 2024, kes penipuan utama yang dilaporkan kepada polis terdiri daripada penipuan telekomunikasi (31.6%); e-dagang (30.6%); pinjaman (15.4%); pelaburan (13.9%); cinta (3.9%); serta perisian hasad/pancingan data (4.7%).
“Sejak 2022, usaha bersepadu untuk memperkukuh kawalan keselamatan institusi kewangan bagi mencegah penipuan telah membuahkan hasil positif melalui pelaksanaan langkah pencegahan di semua bank, yang kini turut diperluas kepada semua pengeluar wang elektronik utama.
“Pada 2024, bilangan kes transaksi penipuan tanpa kebenaran melibatkan perisian hasad dan pencurian maklumat yang dilaporkan kepada BNM menurun 52%, sementara industri perbankan berjaya menghalang percubaan transaksi penipuan bernilai lebih RM399 juta,” kata BNM.
BNM turut menegaskan, pengguna yang berwaspada dan proaktif ialah kunci utama dalam mengurangkan penipuan, memandangkan lebih 95% kes penipuan dalam talian di Malaysia melibatkan transaksi yang dibenarkan oleh mangsa.
“Memandangkan corak penipuan dengan kebenaran menyerupai transaksi tulen, institusi kewangan sukar mengenal pasti dan menyekatnya tanpa menjejaskan sistem pembayaran, menjadikan pendidikan dan kesedaran pengguna sebagai pencegahan terbaik,” katanya.
“Kejayaan yang lebih besar dalam mengelakkan penipuan hanya dapat dicapai jika pengguna mengambil langkah proaktif seperti tidak terpedaya dengan tawaran yang indah khabar dari rupa dan mengambil perhatian terhadap amaran penipuan daripada rakan, keluarga dan bank.”
Selain itu, BNM turut menganjurkan amalan keselamatan siber yang baik seperti tidak berkongsi kata laluan, maklumat pengenalan peribadi, dan tidak menekan pautan yang mencurigakan.
Melangkah ke hadapan, bank pusat itu menekankan bahawa usaha menangani penipuan dalam talian memerlukan pendekatan menyeluruh pada peringkat negara, dengan usaha berterusan untuk memperkukuh pencegahan penipuan, meningkatkan penguatkuasaan, dan memperluaskan kesedaran pengguna.
“Pihak industri sudahpun mengambil pelbagai langkah untuk mempertingkatkan usaha semasa, termasuk mengkaji kaedah bagi mengukuhkan pencegahan penipuan dan penguatkuasaan melalui penggunaan teknologi serta perkongsian maklumat yang lebih mantap,” katanya.
Tambahnya, peranan penting pengguna sebagai barisan pertahanan pertama dalam membanteras penipuan boleh membantu mencegah jenayah, serta menyumbang kepada ekosistem pembayaran digital yang lebih selamat.