Shahelmey mahu pertahan Tanjung Keramat bawah ‘payung’ mana?

Shahelmey mahu pertahan Tanjung Keramat bawah ‘payung’ mana?

Timbalan ketua menteri Sabah itu sedang digantung keahlian Umno selepas enggan tarik sokongan ke atas pimpinan Hajiji Noor pada Januari 2023.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya tidak terkesan dengan tindakan Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin yang telah umum calon bagi kerusi Tanjung Keramat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Ketua Menteri Sabah Shahelmey Yahya yang digantung Umno menyuarakan hasrat ingin mempertahankan kerusi disandang, Tanjung Keramat, menjelang PRN Sabah.

Namun, beliau enggan mengulas lanjut akan bertanding di bawah “payung” mana.

“Lebih kurang begitulah, mahu bertanding, tapi simpan dululah. Namun demikian, kita tetap membuat persiapan dari segi jentera. Payung apa (parti), nanti kita tetapkan,” katanya menurut Berita Harian, di Kota Kinabalu.

Pada September 2020, Shahelmey menang Tanjung Keramat atas tiket Barisan Nasional ketika PRN Sabah lalu, dan kemudian menang Parlimen Putatan pada PRU15, November 2022.

Beliau digantung selepas tidak bersetuju dengan keputusan Umno Sabah menarik diri daripada kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Hajiji Noor, pada Januari 2023.

Sebelum ini, Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin telah mengumumkan Ketua Umno Putatan Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon BN bagi Tanjung Keramat.

Mengulas perkara itu, Shahelmey berkata ia sekadar pengumuman, namun watikah calon hanya dikeluarkan BN menjelang PRN nanti.

“Politik itu bersifat dinamik, tetapi apa yang penting ialah kita perlu menjalankan tugas hingga akhir penggal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.