
PETALING JAYA: Beg pakaian berisi ganja bernilai RM1.3 juta ditinggal di laluan mesin pengimbas unit dagangan kereta api Stesen Kereta Api Padang Besar, Perlis.
Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim, berkata kejadian berlaku pada 4.45 petang, 9 Mac, membawa penemuan 13.207kg dadah itu.
Katanya, bahan terlarang itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dalam cubaan seludup ke negara ini.
“Suspek dipercayai sengaja meninggalkan beg di laluan mesin pengimbas untuk mengelak daripada pemeriksaan,” katanya menurut Harian Metro.
Ismail berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 23 paket plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering dadah jenis ganja.
Katanya, tiada tangkapan dilakukan setakat ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.