
Di Johor, jumlah mangsa terus menurun kepada 4,597 setakat 4 petang, berbanding 6,911 direkodkan pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani, berkata semua mangsa daripada 1,481 keluarga masih berlindung di 29 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.
Menurutnya daerah Johor Bahru kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,042, diikuti Pontian (604), Kluang (525), Batu Pahat (336), dan 90 mangsa di Kota Tinggi.
“Keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor diramalkan cerah, manakala Muar dijangka mendung pada petang ini,” katanya dalam kenyataan.
Di Sarawak, Sekretariat JPBN memaklumkan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di enam PPS di Sibu dan Kapit juga menurun daripada 970 pada pagi tadi kepada 907, pada petang ini.
Jumlah itu dijangka terus berkurangan berikutan situasi banjir yang beransur pulih di kedua-dua bahagian terlibat.
Mangsa banjir di Sibu ditempatkan di tiga PPS iaitu Dewan Serbaguna Selangau, Dewan Kompleks Sukan Kanowit dan Dewan Komuniti Sibu Jaya. Sementara itu, PPS di Kapit adalah di Balai Raya Song, Asrama Belia Kapit, dan Dewan Suarah Kapit.
Di Sabah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 304 daripada 86 keluarga, berbanding 393 daripada 137 keluarga pagi tadi.
Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan hanya dua PPS di Beaufort masih beroperasi dengan trend pemindahan banjir di daerah berkenaan menunjukkan penurunan.
Dalam pada itu, PPS di daerah Keningau dan Sipitang pula telah ditutup.