Lebih 500 bas diperiksa menjelang operasi Aidilfitri

Lebih 500 bas diperiksa menjelang operasi Aidilfitri

JPJ ambil tindakan proaktif periksa dulu mod pengangkutan itu sebelum bermulanya operasi khas Aidilfitri bermula esok hingga 18 April.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata pemeriksaan tumpu aspek teknikal seperti enjin, tayar, dan sistem brek. (Gambar Bernama)
SEREMBAN:
Lebih 500 bas ekspres diperiksa dalam pra-Operasi Khas Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2025 yang diadakan bermula 17 Mac hingga hari ini.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata pemeriksaan dilaksanakan terhadap kenderaan perkhidmatan awam itu melibatkan aspek teknikal di terminal dan depoh bas di seluruh negara.

Beliau berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil langkah proaktif melaksanakan operasi itu sebelum Operasi HRA 2025 yang akan bermula esok hingga 8 April ini.

“Pra-Operasi HRA ini dilakukan dengan memeriksa kenderaan perkhidmatan awam (bas) iaitu melibatkan aspek teknikal di terminal dan depoh bas di seluruh negara antaranya pemeriksaan enjin, tayar, dan sistem brek.

“Menerusi operasi ini, JPJ telah mengesan 11 bas didapati tidak ‘roadworthy’ (tidak selamat di jalan raya) dan notis larangan penggunaan bas dikeluarkan serta-merta.

“JPJ juga mengeluarkan slip pemeriksaan bagi kenderaan yang mematuhi standard dan piawaian di samping aktiviti penyelenggaraan telah dilaksanakan dengan baik,” katanya kepada pemberita pada Majlis Santuni Madani dan majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat Taman Kampung Panchor.

Pada program itu, Loke turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Masjid Al-Munawwarah Kariah Panchor Jaya, Kampung Panchor.

Dalam pada itu, beliau berkata sepanjang musim perayaan sebanyak 2,500 anggota JPJ akan bertugas terutamanya ditempatkan di kawasan hotspot kemalangan.

“Kereta peronda JPJ akan berada di lebuh raya di banyak hotspot, jadi pemandu akan lebih berhati-hati dan (persepsi akan ditangkap) kaedah ini memang berkesan, dengan anggota penguat kuasa perlu berada di lapangan,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan utama ialah menggunakan telefon bimbit, tidak menggunakan tali pinggang keledar, memotong barisan berkembar, menggunakan lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat, memandu melebihi had laju, memotong barisan memandu kenderaan berat di lorong laju dan kenderaan melebihi muatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.