Kuil tidak dipindahkan pada 2008, kata Saravanan

Kuil tidak dipindahkan pada 2008, kata Saravanan

Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata hanya ada sedikit perubahan dibuat membabitkan kuarters pekerja kuil bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan.

M Saravanan
Timbalan Presiden MIC M Saravanan menafikan dakwaan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dibina secara haram.
KUALA LUMPUR:
Timbalan Presiden MIC M Saravanan menafikan dakwaan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman telah dipindahkan ke lokasi semasanya di luar Jalan Masjid India pada 2008.

Saravanan yang menjadi timbalan menteri wilayah persekutuan dari 2008 hingga 2013 mendakwa wujud salah faham bahawa kuil itu dipindahkan ke lokasi semasa atas permintaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Beliau menjelaskan perubahan hanya melibatkan kuarters pekerja kuil bagi memberi laluan kepada projek pelebaran jalan pada 2008, selepas permintaan dibuat DBKL dua tahun sebelum itu.

“Kuil ini tidak dipindahkan ke sini pada 2008 seperti yang didakwa. Ia sememangnya sudah berada di sini,” katanya pada sidang media.

Ahli Parlimen Tapah itu juga menafikan dakwaan bahawa kuil itu dibina secara haram, dengan menegaskan ada bukti jelas bahawa struktur itu diketahui DBKL.

“DBKL boleh sahaja merobohkannya pada 2008 jika ia tidak sah. Sebaliknya, mereka membenarkan kuil memasang paip baharu untuk bekalan airnya. Jika kuil ini haram, mengapa DBKL melakukan semua ini,” katanya.

Saravanan kemudian menunjukkan kepada media salinan surat DBKL bertarikh Disember 2008 yang menyatakan bahawa pihak berkuasa tidak mempunyai bantahan terhadap kerja paip dijalankan di kawasan itu.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa kuil itu menceroboh tanah yang sepatutnya menjadi lokasi pembinaan sebuah masjid sambil menjelaskan status tanah itu dikategorikan sebagai ‘pembangunan bercampur’ ketika berada di bawah bidang kuasa DBKL.

Semalam, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran berkata wujud dakwaan palsu mengenai kuil itu termasuklah dibina penganut Hindu di lokasi semasa di luar Jalan Masjid India walaupun tanah tersebut bukan milik mereka.

Prabakaran mendakwa kuil itu dipindahkan ke lokasi semasa di Lot 328, Seksyen 40, Jalan Bunus Enam, di luar Jalan Masjid India, selepas memperoleh semua kelulusan yang diperlukan daripada DBKL.

Bekas presiden Hindu Sangam Malaysia, A Vaithilingam menolak dakwaan itu dengan menegaskan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman tidak pernah dipindahkan pada 2008.

“Saya merupakan ahli jawatankuasa yang dilantik oleh Datuk Bandar ketika itu dan kami mengadakan beberapa mesyuarat dipengerusikan oleh timbalan ketua pengarah DBKL.

“Kami berjaya menyelesaikan banyak masalah berkaitan kuil di bandar ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan sebuah pemaju telah meminta kuil itu dipindahkan untuk pelebaran jalan yang dipersetujui untuk dialihkan kira-kira dua hingga tiga kaki bagi membolehkan pembinaan diteruskan.

Menurut Vaithilingam, DBKL meluluskan pelan ubah suai itu dan satu upacara kumbabishekam (pemberkatan) diadakan yang turut dihadirinya.

“S Samy Vellu iaitu menteri kerja raya ketika itu turut hadir. Kuil ini sememangnya sudah berada di sini sejak dahulu.

“Saya telah melihat kuil ini di lokasi yang sama sejak saya mula bersekolah pada tahun 1947. Ini adalah kebenaran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.