
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, berkata surat akuan kebenaran itu merujuk kepada rakaman gambar, video, dan audio murid untuk dimuat naik ke laman sosial bagi program anjuran institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan.
“Jadi tiada isu pun (papar wajah murid), kerana pihak guru dah dapat kebenaran ibu bapa,” katanya kepada FMT, mengulas teguran Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil supaya golongan pendidik tidak menjadikan murid sebagai bahan kandungan di media sosial masing-masing.
Fahmi berkata hal itu kerana kandungan sedemikian boleh disalah guna individu tidak bertanggungjawab termasuk bagi tujuan jenayah seksual kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata majoriti guru pempengaruh menggunakan media sosial untuk berkongsi kandungan berunsur positif seperti kisah kejayaan murid dan teknik mengajar dengan tujuan memberi motivasi kepada orang lain.
Katanya, pendekatan santai ‘edufluencers’ – label kepada guru pempengaruh ini telah memainkan peranan penting dalam landskap pendidikan negara yang berkembang pesat selari kemajuan teknologi.

“Kita tak boleh halang sepenuhnya kerana media sosial juga boleh menjadi platform baik untuk pembelajaran. Dengan corak pembelajaran yang lebih segar, guru lain juga boleh ambil contoh daripada kaedah guru ini untuk memupuk minat pelajar.
“Contoh, ada seorang guru bahasa Inggeris dari Kelantan paparkan teknik sebutan dengan begitu menarik dan buatkan ramai berminat untuk turut sama mempelajarinya…kandungan positif seperti itu kita amat sokong.”
Bagaimanapun, pada masa sama, beliau menegaskan warga pendidik perlu mengelak daripada mengeksploitasi murid semata-mata untuk meningkatkan jumlah pengikut di media sosial masing-masing.
“Jika mereka gunakan murid sebagai tarikan untuk menambah pengikut di akaun peribadi, itu memang tidak wajar.
“Namun, jika ia berkaitan pembelajaran dan murid mendapat kebenaran ibu bapa, saya rasa tiada isu,” katanya memaklumkan guru tertakluk kepada garis panduan penggunaan media sosial dikeluarkan KPM.
Beliau turut mengingatkan guru lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial supaya ia kekal sebagai platform bermanfaat untuk tujuan pendidikan tanpa menjejaskan profesionalisme sebagai pendidik.
“Penjawat awam termasuk guru, perlu memahami mereka ada tanggungjawab untuk mematuhi pekeliling kerajaan. Jika ada yang melanggar peraturan, tindakan boleh diambil bergantung kepada tahap kesalahan,” katanya.