
Menerusi semakan sistem mahkamah, permohonan AGC yang memfailkan notis rayuan itu pada 4 Feb lalu, dijadualkan didengar di Mahkamah Persekutuan 1 pada 9 pagi.
Pada 6 Jan lalu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 mengembalikan kes Najib berhubung dakwaan kewujudan dokumen tambahan yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit.
Mahkamah Rayuan membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang sebelum ini menolak permohonannya untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan kewujudan dokumen tambahan berkenaan.
Najib, 71, dalam permohonan semakannya memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan 2024.
Beliau menamakan menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Pada 3 Julai 2024, Hakim Amarjeet Singh yang menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman, memutuskan empat afidavit dikemukakan bagi menyokong dakwaan Najib, termasuk kenyataan Presiden Umno, Zahid Hamidi dan Naib Presidenn, Wan Rosdy Wan Ismail dianggap khabar angin serta tidak boleh diterima sebagai bukti di mahkamah.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Beliau kemudiannya memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022.
Bagaimanapun, Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.