Bersatu kena sabar kalau hendak kerjasama, kata pemimpin Umno

Bersatu kena sabar kalau hendak kerjasama, kata pemimpin Umno

Puad Zarkashi berkata Umno akan pertimbang kerjasama dengan Bersatu jika hubungan dengan PH bermasalah.

BERSATU
Jumaat lalu, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin berkata parti itu sedia bekerjasama dengan Umno demi mencapai matlamat perjuangan politik.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno berkata partinya mungkin mempertimbangkan kerjasama dengan Bersatu jika hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) bermasalah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata ketika ini kerjasama dalam kerajaan perpaduan itu berjalan baik walaupun ada perbezaan kecil dalam beberapa isu.

“Bersatu kena tunggu dan perlu bersabar, jika wujud masalah Umno-PH maka barulah kerjasama dengan Bersatu difikirkan semula.

Puad Zarkashi.

“Ketika ini Umno selesa bekerjasama dengan PH, peranan Umno dihargai dan tidak berlaku tikam belakang untuk menguburkan Umno…memang wujud perbezaan tetapi tak sampai diketepikan,” katanya kepada FMT.

Puad mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin berhubung kesediaan partinya menjalinkan kerjasama dengan Umno demi mencapai matlamat perjuangan politik.

Menerusi satu program audio siar Jumaat lalu, ketua pembangkang itu berkata tiada sebab bagi dua parti terbabit terus berpecah jika mereka berkongsi perjuangan dan wadah politik sama.

Mengulas lanjut, Puad yang juga Adun Rengit berkata ketidaksediaan untuk menjalankan kerjasama dengan Bersatu ketika ini bukan bermaksud Umno sombong.

“Tetapi Bersatu yang angkuh kerana mereka ingat Umno begitu mudah dikuburkan.

“Pada saya lebih baik ahli Bersatu kembali ke Umno termasuk Hamzah, Muhyiddin Yassin dan Azmin Ali…ikut langkah Semangat 46,” katanya merujuk tindakan parti pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah menyertai semula Umno pada 1996.

Mohd Khairuddin Aman Razali.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Mohd Khairuddin Aman Razali berkata kerjasama bagi mengukuhkan penyatuan Melayu dan Islam harus membabitkan semua parti.

“Saya berpandangan kebersamaan perlu dibina dengan duduk semeja dan tidak saling tuduh menuduh di sebalik perbezaan politik, perlu babit Umno, PAS, Bersatu, Amanah dan PKR.

“Syarat utama perpaduan ialah keikhlasan untuk maslahat rakyat, tidak bertujuan memecahkan kesatuan dalam parti rakan, melihat titik kebersamaan dan tidak membesarkan perbezaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.