STR, Sara bantu tingkat jualan peruncit, PKS, kata tokoh perniagaan

STR, Sara bantu tingkat jualan peruncit, PKS, kata tokoh perniagaan

Ameer Ali Mydin berkata bantuan sosial itu mampu memberi pulangan lima kali ganda daripada perbelanjaan kerajaan.

Orang ramai boleh mendapatkan barangan asas menerusi bantuan Sumbangan Asas Rahmah yang ditingkatkan jumlahnya kepada RM2,100 setahun.
PETALING JAYA:
Perbelanjaan RM13 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) tahun ini turut memberi manfaat berganda kepada pengusaha sektor peruncitan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kata seorang tokoh perniagaan.

Penasihat Gabungan Persatuan Perniagaan Malaysia, Ameer Ali Mydin, berkata sumbangan wang tunai dan tuntutan pembelian barangan asas kepada golongan memerlukan itu didapati membantu melonjakkan jualan peruncit dan pengusaha PKS.

Menurut pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd itu, dengan peningkatan kuasa beli rakyat, jualan di premis perniagaan termasuk pasar raya milik mereka naik dua kali ganda setiap kali bayaran STR dan Sara disalurkan.

Beliau turut menjangkakan jumlah jualan di 1,200 peruncit seluruh negara bawah program Sara akan terus melonjak susulan kerajaan menaikkan peruntukan program bantuan barangan keperluan asas tanpa tunai sehingga RM200 sebulan mulai bulan depan.

“STR dan Sara bukan sahaja bantu golongan memerlukan tetapi peruncit termasuk peniaga kecil… dalam ekonomi kesan bergandanya mampu memberi pulangan sehingga lima kali ganda daripada pelaburan kerajaan.

“Ramai merasa nikmatnya dan membantu menyerap tekanan cabaran masa kini,” katanya kepada FMT.

Kadar bantuan Sara tahun ini ditingkatkan daripada RM1,200 kepada RM2,100 manakala STR membabitkan kira-kira 4.7 juta isi rumah pelbagai kategori.

Sebelum ini, penganalisis ekonomi Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan langkah mitigasi seperti meningkatkan bantuan tunai mampu mengurangkan kesan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan dilaksana berperingkat.

Ameer Ali Mydin.

Dalam pada itu, Ameer turut menggesa peruncit melengkapkan perniagaan dengan teknologi dan sistem terkini untuk membolehkan mereka dipilih menyertai program Sara.

“Kerajaan memang mahu sebanyak mungkin kedai runcit Bumiputera terbabit namun mungkin ada kekangan kerana ada peruncit terutama kedai runcit kecil tiada sistem sesuai.

“Sistem itu diperlukan untuk elak salah guna bagi tuntutan Sara, contohnya kalau ada penerima cuba membeli rokok yang tidak termasuk dalam barang asas,” katanya.

Kesan riak STR dan Sara turut diakui Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) yang menegaskan selain berjaya meringankan beban hidup rakyat, ia turut memberi lonjakan jualan kepada peruncit terlibat.

William Ng.

Namun, Presiden William Ng berharap kerajaan memperluaskan kepada lebih ramai pengusaha kedai runcit tempatan bagi merancakkan lagi ekosistem ekonomi domestik.

“Ini boleh dilaksanakan melalui e-dompet yang sememangnya mempunyai data pengguna dan peruncit tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.