Senator bidas pemimpin PDP, ingatkan ‘anak Sarawak’ juga ahli PH

Senator bidas pemimpin PDP, ingatkan ‘anak Sarawak’ juga ahli PH

Abun Sui Anyit kata ahli parti PH dari Sarawak 'pun tahu yang mana baik untuk Sarawak'.

Abun Sui Anyit
Abun Sui Anyit berkata kenyataan Naib Presiden Kanan PDP Wong Soon Koh supaya tolak parti dari Semenanjung Malaysia undang naratif kebencian. (Gambar Parliament of Malaysia)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) bukan sahaja dianggotai rakyat Sarawak, malah semua calonnya bagi PRN terdiri daripada ‘anak Sarawak’, tegas seorang senator ketika menyangkal kenyataan pemimpin Parti Demokratik Progresif (PDP).

Abun Sui Anyit yang juga ketua penerangan PKR Sarawak mendakwa kenyataan Naib Presiden Kanan PDP Wong Soon Koh sebagai naratif kebencian.

“Ahli parti PH di Sarawak semuanya anak Sarawak. Mereka bukan orang Semenanjung. Merekalah yang akan menjadi calon-calon dalam pilihan raya Sarawak akan datang,” katanya kepada FMT.

“Sebagai anak Sarawak kami pun tahu yang mana baik untuk Sarawak.”

Terdahulu, Wong menggesa rakyat Sarawak menolak parti politik berpangkalan di Malaysia Barat pada PRN akan datang dan memberi sokongan penuh kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, parti politik Tanah Melayu sedang membuat langkah strategik untuk bertapak di Sarawak, dan menurutnya ia percubaan untuk menukar landskap politik negeri itu, yang dakwanya berpotensi membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan kepada negeri itu.

Abun mengingatkan bahawa parti dalam GPS pernah memakai ‘baju’ Barisan Nasional.

Katanya, seorang pemimpin veteran tidak sepatutnya menyemai kebencian kewilayahan kerana ia akan mendatangkan kesan langsung dan tidak langsung.

“Kesan langsungnya adalah wujud perasaan kebencian dalam hati rakyat Sarawak terhadap rakyat Semenanjung. Begitulah sebaliknya.

“Kesan tidak langsungnya adalah pemimpin-pemimpin parti politik pun ada perasaan macam pemimpin GPS juga. Kalau mereka berfikiran sempit atau kewilayahan macam pemimpin GPS, ia boleh mendatangkan kesan buruk.”

Justeru, Abun menyeru ‘buang jauh-jauh’ naratif kebencian kepada Semenanjung sebelum ia memusnahkan ketenteraman dan keamanan dalam negara.

“Kita sebagai negara kecil perlu hidup satu keluarga, bukan dipisah-pisahkan oleh kebencian dan kewilayahan,” katanya.

Tempoh DUN Sarawak tamat lima tahun selepas tarikh persidangan pertama. Ini bermakna PRN akan datang mesti diadakan selewat-lewatnya 15 April 2027.

GPS menguasai 80 daripada 82 kerusi DUN Sarawak, manakala DAP memegang bakinya.

PH Sarawak telah menyuarakan hasrat bertanding menentang GPS pada PRN akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.