Polis siasat kejadian lelaki tak senonoh di perpustakaan universiti

Polis siasat kejadian lelaki tak senonoh di perpustakaan universiti

Ketua polis Subang Jaya berkata, pihaknya terima laporan malam tadi mengenai 2 video tular di media sosial berhubung kejadian.

wan azlan
Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya masih belum merakam keterangan suspek. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki berkelakuan tidak senonoh di sebuah perpustakaan universiti swasta, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Subang Jaya Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam malam tadi berhubung video dimuat naik di media sosial menunjukkan kelakuan tidak senonoh lelaki tersebut, disyaki pelajar.

Satu lagi video turut menunjukkan pelaku diarak masuk ke dalam kawasan kampus oleh pelajar-pelajar lain.

“Hasil siasatan awal mendapati rakaman video memaparkan seorang lelaki, disyaki pelajar, melakukan perbuatan tidak senonoh di perpustakaan sambil menonton video di komputer ribanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Bernama melaporkan Wan Azlan berkata, keterangan suspek masih belum dirakam.

“Kita akan meminta pihak keluarga untuk membawa suspek bagi tujuan merakam keterangannya pada minggu depan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil ke IPD Subang Jaya atau menghubungi pegawai penyiasat T Vanitha menerusi talian 017-2229832 atau 03-7862 7222 untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Sunway Education Group mengesahkan kejadian tular kelakuan tidak senonoh itu melibatkan seorang pelajar Universiti Sunway.

Syarikat itu berkata, pihaknya memandang serius dakwaan salah laku, menambah kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli komunitinya.

Sunway Education Group turut mengecam pihak yang melakukan buli siber atau mengganggu pelajar terbabit.

“Tindakan wajar segera telah diambil dan pelajar itu kini berada bawah jagaan keluarganya,” kata syarikat itu menambah, siasatan lanjut sedang dijalankan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.