Mangsa banjir di Johor, Sabah semakin kurang

Mangsa banjir di Johor, Sabah semakin kurang

Sementara itu, jumlah mangsa di Sarawak tidak berubah, iaitu 969 orang yang ditempatkan di enam PPS, setakat 4 petang tadi.

banjir johor
Di Johor, situasi banjir menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa menurun kepada 8,040 orang sehingga 4 petang tadi, berbanding 13,089 orang pagi tadi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sabah mencatatkan penurunan setakat 4 petang tadi, manakala di Sarawak, jumlah mangsa tidak berubah.

Di Johor, situasi banjir menunjukkan perkembangan positif dengan jumlah mangsa menurun kepada 8,040 orang sehingga 4 petang berbanding 13,089 orang yang direkodkan pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Azmi Rohani memaklumkan, kesemua mangsa daripada 2,485 keluarga kini berlindung di 52 PPS yang beroperasi di lima daerah terjejas.

“Daerah Kulai telah pulih sepenuhnya dan semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah air banjir surut dan kawasan didapati selamat,” katanya dalam kenyataan.

“Selain itu, Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,318 orang, diikuti Kluang (1,793), Pontian (1,551), Batu Pahat (270), dan Kota Tinggi (108 orang).”

Di Sabah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 209 orang daripada 70 keluarga, berbanding 379 orang daripada 124 keluarga yang ditempatkan di empat PPS setakat petang ini.

Sementara itu, PPS Masjid Nur Iman Kampung Sungai Memanjang, PPS Kampung Balaban Jaya dan PPS Kampung Sungai Nangka di daerah Sandakan telah ditutup pada 3 petang.

Bagaimanapun, jumlah mangsa di Beaufort menunjukkan peningkatan, dan proses pemindahan ke PPS sedang dijalankan.

Di Sarawak, JBPN melaporkan jumlah mangsa banjir kekal seramai 969 orang setakat 4 petang ini.

Di Bahagian Sibu, mangsa banjir ditempatkan di tiga PPS, iaitu PPS Dewan Serbaguna Selangau, PPS Dewan Kompleks Sukan Kanowit dan PPS Dewan Komuniti Sibu Jaya.

Sementara itu, di Bahagian Kapit, mangsa ditempatkan di PPS Balai Raya Song, PPS Asrama Belia Kapit, dan PPS Dewan Suarah Kapit.

Sebagai langkah proaktif menghadapi kemungkinan pertambahan jumlah mangsa, PPS Dewan Sri Baleh telah dibuka, namun setakat ini tiada mangsa yang ditempatkan di sana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.