Dakwaan telur ayam ‘diseludup’ ke luar: Mat Sabu jamin bekalan tempatan cukup, stabil

Dakwaan telur ayam ‘diseludup’ ke luar: Mat Sabu jamin bekalan tempatan cukup, stabil

Menteri KPKM beri jaminan susulan laporan media berhubung kemungkinan telur ayam diseludup ke luar negara.

telur
Mohamad Sabu berkata, KPKM sentiasa pantau rapi rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir untuk jamin kestabilan bekalan.
PETALING JAYA:
Kerajaan memberi jaminan bekalan telur ayam di pasaran kekal mencukupi dan stabil bagi memenuhi permintaan domestik.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menjelaskan sedemikian berikutan kekeliruan yang timbul daripada laporan media berhubung kenaikan mendadak harga telur ayam di Amerika Syarikat serta dakwaan kemungkinan berlaku penyeludupan telur ayam ke luar negara.

“Kerjasama erat dengan para pengeluar telur tempatan telah memastikan tahap pengeluaran telur harian berada pada paras yang stabil dan memuaskan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan pemantauan rapi ke atas rantaian pengeluaran dan pengedaran telur ayam dari peringkat ladang hingga ke pengguna akhir bagi menjamin kestabilan bekalan.

Tambahnya, langkah penguatkuasaan juga terus diperkukuh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama agensi dan kementerian lain bagi memantau kegiatan eksport bekalan makanan.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas dan sentiasa merujuk maklumat sahih melalui saluran rasmi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Kerajaan menerusi KPKM kekal komited dalam memastikan keterjaminan makanan negara melalui dasar dan pelan tindakan strategik yang menyeluruh, termasuk usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan dan sokongan kepada industri agromakanan.

“Kami akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia mengambil tindakan segera sekiranya diperlukan demi memastikan kestabilan bekalan makanan negara sentiasa cukup dan terjamin,” katanya.

Terdahulu media melaporkan AS berdepan masalah kekurangan bekalan telur ayam yang serius berikutan wabak berterusan selsema burung H5N1.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.