TH umum agihan keuntungan 3.25%, tertinggi dalam 7 tahun

TH umum agihan keuntungan 3.25%, tertinggi dalam 7 tahun

Agihan keuntungan berjumlah RM2.92 bilion itu bakal memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit Tabung Haji.

Tabung Haji
Pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan dikreditkan ke akaun masing-masing Ahad ini menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan lebih baik iaitu 3.25 % selepas zakat bagi tahun kewangan 2024, kadar tertinggi dalam tempoh tujuh tahun sejak 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata agihan keuntungan berjumlah RM2.92 bilion itu bakal memberi manfaat kepada lebih 9.54 juta pendeposit.

“Agihan ini dipacu prestasi pelaburan yang lebih baik kesan pertumbuhan ekonomi dan pasaran saham negara yang positif pada 2024, di samping usaha berterusan bagi mengawal kos operasi,” katanya pada sidang media pengumuman agihan keuntungan TH tahun 2024.

Tahun lalu, TH mengumumkan kadar agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1% bagi tahun kewangan 2023, mengekalkan rekod sama selama empat tahun berturut-turut.

Na’im berkata, pendeposit boleh menyemak agihan keuntungan yang dikreditkan ke akaun masing-masing Ahad ini menerusi platform THiJARI, kaunter Tabung Haji, kaunter Bank Islam dan Bank Rakyat.

Katanya, pendeposit juga boleh menyemak di saluran elektronik bank rakan strategik TH iaitu Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank Islamic, CIMB Islamic dan AmBank Islamic.

“TH turut melunaskan zakat sebanyak RM99.35 juta kepada semua majlis agama Islam negeri bagi pihak pendeposit TH,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan sehingga kini TH melunaskan zakat berjumlah RM1.47 bilion bagi pihak pendeposit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.