Suami isteri antara 4 disyaki edar dadah ditahan

Suami isteri antara 4 disyaki edar dadah ditahan

Polis turut menemukan dadah disyaki syabu dan ganja dianggar seberat 13kg bernilai RM421,286 di Jalan Pasar, Raub, Rabu lepas.

Yahaya Othman
Ketua Polis Pahang Yahaya Othman menunjukkan dadah yang dirampas susulan penahanan empat suspek termasuk suami isteri, pada sidang media di IPD Raub hari ini. (Gambar Bernama)
RAUB:
Polis percaya telah menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan empat individu termasuk pasangan suami isteri di tempat letak kereta di Jalan Pasar, di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 37 hingga 59 tahun itu diberkas kira-kira 3.30 petang ketika berada di dalam dua kereta.

Beliau berkata hasil pemeriksaan di dalam kereta jenis Toyota Vios dan Nissan Navara itu, polis menemukan dadah disyaki syabu dan ganja dianggar seberat 13kg bernilai RM421,286.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini aktif sejak tiga bulan lepas dengan didalangi warga tempatan dan mendapatkan bekalan dadah dari Lembah Klang untuk diedarkan di Pahang serta dibawa ke negara jiran,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Yahaya berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan sama ada terdapat individu lain terlibat dalam jenayah itu.

Beliau berkata dadah dirampas mampu dibekalkan kepada 26,331 penagih.

“Ujian air kencing mendapati wanita itu positif terhadap dadah manakala suaminya dan seorang lagi suspek tempatan mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya sambil menambah keempat-empat individu itu direman hingga 26 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.