
“Tiada musuh dalam DAP. Kita semua rakan seperjuangan, semua ahli parti dan satu keluarga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.
Sim berkata barisan kepimpinan baharu menyaksikan pemimpin dari Pulau Pinang diberi kepercayaan memegang jawatan peringkat kebangsaan, termasuk dirinya dan Ramkarpal Singh sebagai timbalan setiausaha agung serta Kasthuri Patto sebagai setiausaha antarabangsa.
Rabu lalu, bekas pemimpin DAP Pulau Pinang, P Ramasamy mendakwa kemenangan Gobind Singh Deo dalam pemilihan hujung minggu lalu adalah sebahagian daripada “muslihat politik terancang” dan perangkap dipasang puak diketuai Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, dan Timbalan Pengerusi, Nga Kor Ming.
Gobind dilihat sebagai sekutu kepada bekas pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang menduduki tempat ke-26 daripada 30 individu yang dipilih ke jawatankuasa pusat. Gobind menggantikan Lim sebagai pengerusi parti.
Dalam majlis malam ini, Sim menyatakan penghargaan kepada Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, dan menyifatkannya sebagai pemimpin yang meletakkan asas bagi transformasi negeri berdasarkan prinsip kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan.
Beliau berkata, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, kini meneruskan legasi tersebut, terutamanya dalam projek infrastruktur dan inisiatif ekonomi baharu.
Sementara itu, Chow yang turut hadir pada majlis itu menggesa PH dan parti dalam kerajaan perpaduan supaya menjadi contoh yang baik dalam menangani isu berkaitan kaum dan agama dengan berhati-hati.