
CEO Fomca, T Saravanan, berkata walaupun kesedaran mengenai program bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) adalah tinggi, ramai salah faham mengenai tujuannya dan cenderung membelanjakannya untuk bukan keperluan asas.
“Ada yang kurang kesedaran mengenai perancangan kewangan, sekali gus mengurangkan impak jangka panjang program ini.
“Ramai rakyat anggap bantuan tunai sebagai hak jangka panjang dan bukan sekadar sokongan kewangan sementara,” katanya kepada FMT.

Bagi menangani perkara ini, Saravanan mencadangkan pendidikan kewangan dimasukkan ke dalam kurikulum sekolah serta bengkel diadakan untuk golongan pekerja dalam usaha mempromosikan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab.
“Perlu ada program peningkatan kemahiran dan pekerjaan untuk melengkapkan rakyat dengan kemahiran baharu bagi meningkatkan keupayaan pendapatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kewangan,” katanya.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, berkata jumlah penerima Sara akan meningkat kira-kira tujuh kali ganda kepada 5.4 juta menjelang April.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 4.7 juta penerima STR sedia ada yang akan didaftarkan secara automatik sebagai penerima baharu Sara.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Afzanizam Abdul Rashid, berkata walaupun bantuan tunai membantu meringankan beban kewangan segera, ia seharusnya menjadi batu loncatan bagi penerima mencapai kebebasan kewangan.

“Negara harus berusaha mengurangkan jumlah penerima STR dengan membantu mereka meningkatkan taraf hidup dan berdikari,” katanya.
Katanya, kerajaan mesti menjejaki kemajuan penerima bantuan bagi memastikan mereka beralih ke arah berdikari.
“Kerajaan ada pelbagai dasar dan program yang dirangka untuk meningkatkan taraf hidup. Ia berkisar kepada pendidikan dan latihan oleh pelbagai kementerian dan agensi.
“Selain itu, ada juga geran perniagaan dan program pembiayaan mikro yang boleh membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang ingin memulakan perniagaan,” katanya.