Ikatan pengundi Cina-DAP ‘terlalu kukuh’, sukar jadi MCA 2.0, kata penganalisis

Ikatan pengundi Cina-DAP ‘terlalu kukuh’, sukar jadi MCA 2.0, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata pemilihan CEC tidak menunjukkan sokongan pengundi Cina merosot sebaliknya pengaruh faktor luaran termasuk cara DAP berdepan Umno.

kongres ke 18 dap
Gobind Singh Deo dilantik sebagai pengerusi manakala Loke Siew Fook kekal setiausaha agung dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, semalam.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis menepis dakwaan DAP akan menjadi MCA 2.0 seperti didakwa seorang pemimpin Umno susulan prestasi merosot beberapa tokoh parti itu pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) minggu lalu.

Azmi Hassan berkata, dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi itu disifatkan kurang tepat memandangkan trend sokongan MCA dan DAP berbeza dalam beberapa pilihan raya.

Katanya, DAP dikatakan disokong 80% pengundi Cina berbanding MCA yang kekuatannya bergantung kepada sokongan 40% hingga 50% undi Melayu susulan kedudukannya sebagai rakan Umno dalam Barisan Nasional (BN).

“Kekuatan MCA suatu ketika dulu dengan kekuatan DAP ketika ini dalam senario berbeza. MCA kuat bukan sangat kerana pengundi Cina,” kata felo Majlis Profesor Negara kepada FMT.

Azmi berkata, keputusan CEC pada dasarnya bergantung kepada faktor luaran termasuk cara Loke Siew Fook menangani sentimen penyokongnya terhadap kerjasama antara DAP dan Umno dalam kerajaan perpaduan.

“Loke mungkin dipilih semula sebagai setiausaha agung oleh 30 ahli pimpinan tertinggi parti kerana kemampuannya tangani isu dalam kerajaan perpaduan.

“Itu termasuk cara Loke yang mahu menyelesaikan masalah dengan Umno di sebalik tabir berbanding jika Lim Guan Eng yang mungkin agak keras. Jadi, tidak nampak pemilihan CEC ini menunjukkan kekurangan sokongan pengundi Cina terhadap DAP,” katanya.

Isnin lalu, Puad berkata DAP akan menerima nasib sama seperti MCA sebagai parti pemerintah dan mengalami kemerosotan sokongan serta pengaruh.

Merujuk keputusan pemilihan DAP, beliau mendakwa sokongan terhadap pemimpin utama seperti Loke dan Lim merosot walaupun masih berjaya mengekalkan kedudukan dalam CEC.

Loke memperoleh undi ketiga tertinggi dalam pemilihan CEC 2022 dengan 1,625 undi, tetapi jatuh ke tempat kelima selepas mengumpul 2,508 undi. Namun, beliau kekal setiausaha agung iaitu kedudukan paling berpengaruh dalam DAP.

Lim pula turun daripada kedudukan kelapan pada 2022 (1,311 undi) kepada tempat ke-26 dalam pemilihan kali ini walaupun meraih 1,719 undi.

Tiada kaitan

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, jumlah undian diterima tokoh utama dalam DAP tiada kaitan sokongan pengundi atau prestasi di Parlimen tetapi lebih kepada politik dalaman.

“Guan Eng kali ini di Parlimen agak vokal tetapi kenapa kedudukan masih rendah?

“Kerana pemilihan kali ini bukan sebab prestasi beliau di luar DAP tetapi persaingan dalaman kerana wujud naratif sama ada wajarkah dinasti keluarga Lim berada dalam CEC atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berpendapat, ketika ini agak sukar untuk MCA memecahkan tembok sokongan pengundi Cina terhadap DAP kerana sudah wujud ikatan kukuh antara mereka.

“Apabila ikatan kukuh dah wujud antara masyarakat Cina dan DAP, mereka akan jadi buta tuli…kiranya apa saja DAP buat mereka akan membuta tuli sokong.

“Untuk memecahkan ikatan itu, DAP kena buat silap yang pengundi Cina rasakan salah dan tak percaya kepada DAP lagi. Selagi belum ada ruang kosong antara pengundi Cina dan DAP…saya tak nampak MCA akan dapat unci Cina,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.