
Pesuruhjaya K Ragunath berkata pemeriksaan mengejut penting untuk memastikan banduan tidak didera dan kejadian tidak disembunyikan oleh pegawai penjara.
“Kami mempunyai kuasa terhad pada masa ini. Walaupun kami boleh melawat lokap dan mengakses laporan bedah siasat, dalam kes seperti rusuhan Penjara Taiping di mana berlaku penderaan besar-besaran dan dua banduan meninggal dunia, kami tidak diberi akses.

“Alasan yang diberikan adalah untuk keselamatan kita,” katanya pada forum anjuran Majlis Peguam.
Ragunath, yang juga seorang peguam, berkata Suhakam pada masa ini perlu memaklumkan Jabatan Penjara lebih awal untuk melawat penjara. Ini memberi masa kepada warden atau pegawai penjara untuk membersihkan sebarang bukti jika ada penderaan dilakukan.
“Di atas kertas, badan-badan seperti Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC), Suhakam, dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan kelihatan diberi kuasa, tetapi kami tidak berupaya dalam situasi kritikal,” katanya.
Pada Januari media melaporkan Bukit Aman sedang menyiasat dakwaan berlakunya kekasaran terhadap lebih 100 banduan oleh pegawai penjara, yang dipercayai membawa kepada kematian dua tahanan.
Ragunath menyatakan kebimbangan mengenai penderaan di pusat tahanan imigresen, yang disifatkannya sebagai ‘mengerikan’.
“Penderaan paling teruk berlaku dalam fasiliti-fasiliti ini, terutama terhadap warga asing. Terdapat sedikit kebertanggungjawaban dalam hal ini, berbanding perhatian terhadap penderaan membabitkan polis.”
Sosma dan bos jenayah
Ragunath mengulangi gesaan supaya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Sosma dikaji semula. Beliau berkata undang-undang kontroversi itu pada awalnya dibentuk dengan tujuan untuk merungkai rangkaian jenayah terancang tetapi ketika ini sebahagian besar tahanan Sosma adalah daripada keluarga miskin.
“Mana statistik menunjukkan ketua-ketua utama yang ditangkap? Bagaimana ini menyelesaikan masalah dadah, pengedaran dan perjudian haram?” katanya.
Ragunath, yang pernah menjadi presiden Badan Peguam, berkata keluarga tahanan Sosma menanggung kesan undang-undang kontroversi itu, kerana ramai yang bergelut dari segi kewangan dan emosi manakala orang tersayang ditahan selama bertahun-tahun sementara menunggu perbicaraan.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai IPCC, mengatakan terdapat kekurangan ketelusan berhubung kes yang ia siasat, sifat aduan yang dilaporkan, dan kebertanggungjawaban di pihak suruhanjaya itu secara keseluruhan.

M Ramachelvam, pengerusi pasukan petugas IPCC Majlis Peguam, menggesa suruhanjaya itu disemak semula bagi memasukkan beberapa peruntukan penting daripada Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) yang tidak diteruskan.
“Suruhanjaya sekarang tidak diberi kuasa untuk waran geledah, perlindungan untuk kerahsiaan penyiasatan, atau kuasa carian dan siasatan yang lebih luas, tidak seperti IPCMC yang dicadangkan.”
“Ini menimbulkan kebimbangan mengenai keupayaan suruhanjaya untuk menjalankan siasatan bebas,” katanya, dan menggesa Kementerian Dalam Negeri berkongsi statistik mengenai aduan yang diterima dan diselesaikan oleh IPCC.