
Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda UKM), Anuar Ahmad, berkata reformasi pendidikan bukan hanya berkisar kepada pelbagai latihan dan kursus lanjutan kepada guru, sebaliknya hubungan kuat antara mereka dan murid.
“Bila guru cemerlang, murid juga akan hebat…sebab itu saya berulang kali tegaskan supaya jaga kesejahteraan guru dan beban tugas mereka biarlah difokuskan kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP).
“Jangan dilambakkan kepada guru-guru dengan pelbagai tugas bukan pengajaran, yang diperlukan ialah segera kembalikan fokus guru kepada tugas hakiki mereka iaitu mengajar. Biarlah guru sentiasa berada dalam kelas bersama murid-murid,” katanya di Facebook.
Semalam, media melaporkan Anwar mahu Kementerian Pendidikan (KPM) memberi penekanan kepada latihan guru sebagai ejen perubahan dalam sistem pendidikan negara.
Pada 1 Mac 2024, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang, menyarankan KPM meneliti punca guru memilih bersara awal disebabkan pelbagai faktor termasuk isu bebanan tugas tiada kaitan dengan kerja hakiki.
Beliau mendakwa, antara lain guru berasa terbeban melakukan kerja pengisian data disebabkan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada tidak berfungsi dengan baik.
Pada 2023, sebanyak 6,394 pegawai perkhidmatan pendidikan atau 1.49% daripada jumlah keseluruhan pengisian guru diluluskan untuk bersara pilihan.
Data KPM itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu 5,306 atau 1.23% daripada jumlah keseluruhan pengisian guru.