
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata perkara itu boleh disimpulkan berdasarkan tindakan perayu, Syed Saddiq selepas ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020.
Langkah Sheraton merujuk kepada peristiwa politik pada Februari 2020, menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang turut disertai Bersatu ketika itu selepas hanya 22 bulan berkuasa.
Wan Shaharuddin berkata, Syed Saddiq memberitahu beberapa anggota Pemuda bahawa dana dalam akaun bank berkenaan dikumpul hasil usahanya sebagai ketua Armada, sayap Pemuda Bersatu.
Beliau berkata, Syed Saddiq sendiri mengakui berlaku kekacauan dalam sayap Pemuda ketika itu.
“Akan berlaku juga perubahan kepimpinan dalam Bersatu,” katanya dalam hujahan di hadapan panel tiga hakim diketuai Ahmad Zaidi Ibrahim.
Turut bersidang mendengar rayuan bekas menteri belia dan sukan itu ialah Hakim Azman Abdullah dan Noorin Badaruddin.
Susulan Langkah Sheraton, kerajaan PH yang berkuasa sejak Mei 2018 tumbang selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.
Ahli Parlimen Bersatu yang diketuai Muhyiddin Yassin bersama kumpulan daripada PKR yang menyokong bekas timbalan presiden Azmin Ali, serta Ahli Parlimen daripada PAS, Sarawak dan bebas membentuk kerajaan baharu.
Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac.
Bersatu kemudian memecat pengerusinya, Mahathir, serta empat Ahli Parlimen lain kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional diketuai Muhyiddin. Syed Saddiq, yang ketika itu berada dalam Jemaah Menteri Mahathir, turut enggan menyatakan sokongan kepada Muhyiddin dan seterusnya menubuhkan parti Muda.
Wan Shaharuddin berkata, Syed Saddiq mengarahkan Rafiq Hakim Razali, penolong bendahari Pemuda Bersatu ketika itu, untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun bank sayap itu.
“Kesalahan bersubahat berlaku apabila beliau mengarahkan Rafiq melakukan pengeluaran selepas Langkah Sheraton,” katanya.
Beliau berkata, Rafiq dan penolong setiausaha Pemuda Bersatu ketika itu, Ahmad Redzuan Shafi, adalah saksi pendakwaan yang boleh dipercayai dan hakim perbicaraan menerima keterangan mereka walaupun Syed Saddiq mendakwa mereka menipu untuk menyelamatkan diri.
“Kenyataan Syed Saddiq tidak dibuktikan dan hanya kekal sebagai spekulasi serta andaian,” katanya.
Wan Shaharuddin berkata, kedua-dua saksi, walaupun rakan sejenayah, telah diberikan imuniti bawah Seksyen 52 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Beliau berkata, Hakim Azhar Abdul Hamid, yang mendengar perbicaraan, membuat penilaian maksimum terhadap bukti sebelum memanggil Syed Saddiq untuk membela diri dan kemudian mensabitkan kesalahan.
“Dalam rayuan ini, pihak pembelaan cuba menggambarkan bahawa penghakiman Azhar mempunyai kelemahan asas.”
Wan Shaharuddin menggesa mahkamah meneliti semula keterangan saksi dan mengekalkan sabitan.
Perbicaraan ditangguhkan ke 17 April selepas Wan Shaharuddin mengadu mengalami sakit tekak.
Pada 9 Nov 2023, Hakim Azhar mendapati Syed Saddiq bersalah atas pertuduhan bersubahat dalam jenayah pecah amanah membabitkan RM1 juta serta penyelewengan dana RM120,000.
Bagi pertuduhan pecah amanah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan rotan ke atasnya.
Beliau turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan satu lagi sebatan bagi kesalahan penyelewengan dana, serta tambahan hukuman penjara dua tahun bagi setiap kesalahan pengubahan wang haram.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi pecah amanah dan penyelewengan dana dijalankan secara berasingan, manakala hukuman bagi kesalahan pengubahan wang haram berjalan serentak.
Akibatnya, Syed Saddiq perlu menjalani hukuman penjara selama lima tahun. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan bekas presiden Muda itu.
Dalam penghakiman setebal 22 halaman dikeluarkan pada 28 Nov tahun lalu, Azhar menyatakan bahawa hukuman dijatuhkan terhadap Syed Saddiq tidak keterlaluan kerana mahkamah mengambil kira statusnya sebagai tokoh awam dan contoh kepada golongan belia.