
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata diskaun itu sama seperti diumumkan pada perayaan Tahun Baharu Cina Januari lalu.
“Memang kita akan ada (beri diskaun) sebab kita dah buat pada Tahun Baharu Cina. Takkan kita tak buat pada Aidilfitri. Tunggu sebentar lagi, kami akan umum.
“Sabar…balik kampung nanti ada (diskaun),” katanya kepada pemberita di Kementerian Kerja Raya sempena lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada sambutan Tahun Baharu Cina lalu, kerajaan memberikan potongan tol selama dua hari bermula 12.01 tengah malam 27 Jan hingga 11.59 malam 28 Jan.
Ia melibatkan kenderaan persendirian kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali plaza tol di sempadan negara iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).

Umat Islam dijangka menyambut Aidilfitri pada 31 Mac ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai lawatan kerja tersebut, Nanta berkata Anwar meminta KKR meningkatkan prestasi dan projek dijalankan perlu memberi nilai kepada hasil yang dibelanjakan.
“Tak ada bincang pasal tol, apa yang lebih penting perdana menteri minta kerajaan ini (menjadi) kerajaan yang efisien dan minta sampai (perkhidmatan) yang terbaik kepada rakyat,” katanya.