Rafizi pertahan timbalan presiden, harap pemilihan PKR kurang drama

Rafizi pertahan timbalan presiden, harap pemilihan PKR kurang drama

Rafizi Ramli berharap pertandingan kali ini berlangsung secara sihat.

rafizi ramli
Rafizi Ramli terpilih untuk menjadi timbalan presiden PKR pada pemilihan 2022.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengumumkan beliau akan pertahan jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti Mei ini.

Rafizi berharap pertandingan kali ini berlangsung secara sihat kerana masyarakat tidak mahu menonton ‘drama’ ketika parti harus fokus pada mentadbir negara.

“Saya akan bertanding, tetapi saya amat berharap kurang drama,” katanya kepada pemberita di tepian satu acara.

“Mari kita tumpu pada kerajaan, mari kita fokus kepada rakyat. Saya fikir rakyat tidak mahu lihat terlalu banyak drama daripada mana-mana parti politik.”

Pada 1 Feb lalu, setiausaha politik kanan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Akin, dilapor berkata PKR berkemungkinan tidak akan mempertandingkan jawatan timbalan presiden pada pemilihan kali ini.

Anwar juga merupakan presiden PKR.

Rafizi pertama kali terpilih untuk menjadi timbalan presiden pada pemilihan 2022, apabila menewaskan Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau pernah menjadi naib presiden selepas 2014, dan bersaing dengan Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden pada 2018 namun tewas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.