
Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM5.48 bilion dibayar kepada 920,368 penerima pada 2023 dan RM4.92 bilion kepada 866,666 penerima pada 2022.
“Pada 2024, faedah pencen penakat adalah tertinggi dengan pembayaran berjumlah RM2.41 bilion, diikuti pencen ilat berjumlah RM1.19 bilion dan faedah hilang upaya kekal berjumlah lebih RM627 juta.
“Penguatkuasaan gaji siling baharu untuk caruman dari RM5,000 ke RM6,000 bermula Okt lalu menyaksikan pembayaran faedah lebih baik dan meluas kepada pencarum,” katanya selepas majlis berbuka puasa Perkeso, lapor Bernama.
Sim berkata jumlah kemalangan ditakrifkan sebagai bukan bencana pekerjaan direkodkan pada Januari lalu agak membimbangkan, iaitu 177 kes yang menyebabkan tiada perlindungan kepada pekerja terlibat.
Katanya, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 hanya menyediakan perlindungan kepada pekerja jika kemalangan disahkan sebagai bencana kerja atau penyakit khidmat.
“Data tahun lepas menunjukkan sebanyak 80,166 kes kemalangan dilaporkan kepada Perkeso, dengan purata 6,680 kes sebulan atau 219 kes sehari.
“Kita perlu ingat bahawa 117 kes itu, melibatkan pekerja yang juga suami, isteri, ibu, bapa dan anak di luar sana yang tidak mendapat perlindungan kerana kes mereka tidak ditakrif sebagai bencana kerja.
“Sebab itu saya hendak laksanakan skim kemalangan bukan bencana kerja supaya adanya perlindungan 24 jam,” katanya.