2 polis antara 4 didakwa miliki 240,000 mercun bola

2 polis antara 4 didakwa miliki 240,000 mercun bola

Semua tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh, E Lohindran, 32, Mohd Hisyamuddin Ahmad Mispha, 37, Nurrul Azizol Mohamad, 40, dan Fairul Izwan Abdul Aziz, 47, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar atas pertuduhan memiliki 240,000 biji mercun bola berjumlah RM35,000. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Empat lelaki termasuk dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas pertuduhan memiliki 240,000 biji mercun bola berjumlah RM35,000 di sebuah rumah, minggu lalu.

Semua tertuduh, E Lohindran, 32, Mohd Hisyamuddin Ahmad Mispha, 37, Nurrul Azizol Mohamad, 40, dan Fairul Izwan Abdul Aziz, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, lapor Harian Metro.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka bersama suspek yang masih bebas didakwa memiliki bahan letupan iaitu 80 bungkusan plastik hitam mengandungi 240,000 biji mercun bola tanpa kebenaran yang sah di Taman Kemajuan kira-kira 4.30 petang pada 15 Mac lalu.

Dakwaan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1967 (Akta 207) yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa Inspektor S Mageswaran mengendalikan pendakwaan manakala Lohindran dan Mohd Hisyamuddin diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim pula mewakili Nurrul Azizol dan Fairul Izwan.

Terdahulu, Mageswaran memohon mahkamah menetapkan jaminan maksimum sebanyak RM8,000 terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun, Mohamad Alif Farhan merayu jumlah minimum memandangkan anak guamnya mempunyai tanggungan isteri dan ibu yang mana salah seorangnya menghidap kanser tulang.

Manakala Syed Muhammad Anwar turut membuat rayuan sama dengan alasan anak guamnya tiada pendapatan dan menyara adik-beradik serta orang tua yang uzur.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dikenakan bagi setiap tertuduh.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 21 April depan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.